
KENDERAAN ELEKTRIK DI MALAYSIA: APA YANG PERLU ANDA TAHU?
Kenderaan Elektrik (EV) dianggap sebagai pengangkutan masa depan kerana ia lebih mesra alam selain, murah untuk dimiliki. Tidak mustahil, beberapa tahun akan datang, memiliki EV adalah perkara biasa bagi setiap pengguna.
Dengan kematangan teknologi, kerajaan Malaysia komited untuk mencapai sasaran 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri untuk EV dan hibrid menjelang tahun 2030. Pada masa ini, Malaysia merekodkan lebih 15,000 unit EV di atas jalan raya pada 2022.
Walau bagaimanapun, EV masih di peringkat awal dengan hanya segelintir model tersedia dalam pasaran Malaysia selain faktor seperti kos kemasukan begitu tinggi.

Namun, ia diramalkan berubah apabila teknologi bateri bertambah baik dan kos terus menurun. Jika pengguna mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, berikut ialah panduan ringkas untuk mempertimbangkan kos pemilikan.
1.Kos permulaan dan Cukai Jalan
Buat masa ini, EV digelar sebagai kereta ‘orang ada-ada’ kerana pengguna perlu menanggung sejumlah pendahuluan agak tinggi.
Maka dengan itu, kerajaan Malaysia mengambil langkah mewujudkan duti import ke atas kenderaan elektrik CBU sehingga 2024 dan menawarkan rebat sehingga RM30,000 untuk EV CKD.
Selain itu, EV juga tertakluk kepada cukai jalan yang dikira mengikut output kilowatt (kW). Pengiraannya mudah, kenderaan dengan output 80 kW ke atas akan dikenakan kadar asas serta tambahan kadar progresif.

2. Pengecasan
Selain kos, menjadi kebimbangan pengguna ialah pengecasan EV sama ada fasiliti atau proses pengecasan terutamanya ia mengambil masa terlalu lama bagi setiap pengecasan berbanding kenderaan dikuasakan bahan api.
Di samping itu, bateri EV juga memerlukan penjagaan teliti bergantung pada jenis pengecas EV.
● Alternating Current Charging (AC)
Jenis pengecasan EV paling biasa ialah AC – sering dirujuk sebagai pengecasan Tahap 1 atau Tahap 2. Pengecasan tahap 1 boleh dilakukan melalui salur elektrik rumah standard dan mengambil masa sekitar 8 hingga 20 jam bagi setiap pengecasan penuh.
Manakala pengecasan tahap 2 pula menggunakan alur keluar 240 volt, berupaya mencapai pengecasan penuh dalam tempoh antara empat hingga lapan jam.
Walaupun pengecasan AC mungkin pilihan mudah, ia memerlukan pemasangan outlet pengecasan khusus berharga sekitar RM3,000 – RM5,000 untuk 7kW dan RM5,000 – RM7,900 untuk 22kW.
Perlu diingat, ini tidak termasuk kos buruh pemasangan serta pengubahsuaian sekiranya diperlukan untuk menaik taraf, lebih-lebih lagi, saluran pengecas khusus hanya boleh dipasang di rumah bertanah.
● Direct Current Charging (DC)
Pengecasan DC atau pengecasan tahap 3 ialah alternatif lebih pantas dan berkuasa di mana ia berupaya mengecas sepenuhnya dalam masa 30 minit sahaja.
Lebih penting, pengguna tidak perlu pening kepala untuk memasang outlet pengecasan khusus di rumah kerana pengecasan DC terdapat di stesen pengecasan awam.
Stesen pengecas DC merupakan pilihan ideal untuk perjalanan jarak jauh tetapi walau bagaimanapun, kelemahan pengecasan DC ialah ia boleh menjejaskan jangka hayat bateri EV.
Sehingga kini, beberapa stesen pengecasan sudah pun dibina di sekitar kawasan Lembah Klang, bahkan syarikat seperti ChargeNow dan Shell menawarkan pakej langganan untuk stesen pengecasan mereka sendiri.
3. Tayar dan Penyelenggaraan
Seterusnya ialah kos dari segi penyelenggaraan. Seperti sedia maklum, tayar EV berbeza berbanding tayar biasa malah ia direka khas untuk menjadi lebih senyap.
Dengan perincian berkenaan, tidak pelik ia diberikan dengan tanda harga yang mahal. Untuk rekod, tayar EV 19 – 21 inci bernilai sekitar RM10,000 dan hanya boleh dibeli melalui pengedar asal kenderaan.
4. Servis
EV pada masa ini hanya memerlukan penyelenggaraan pada motor berbanding kereta konvensional, yang mempunyai ratusan bahagian untuk berfungsi dengan baik.
Sebagai tambahan, EV tidak memerlukan penukaran minyak atau palam pencucuh, oleh itu ia mampu menjimatkan wang dan masa.
Aspek perlu dititikberatkan sudah tentu pad brek, tayar serta bateri. Bagi bahagian brek, ia perlu ditukar setiap lima tahun sekali manakala bateri, bahagian paling mahal, perlu diganti sekiranya mencapai jangka hayat 10 tahun atau 160,000km.
Pemilik model Tesla S melaporkan bahawa tanpa jaminan, penggantian bateri penuh boleh menelan kos sekitar AS$20,000 (RM87,101.27).
Sementara itu, untuk Nissan Leaf yang dijual secara rasmi di Malaysia, penggantian boleh menjangkau sehingga RM30,000.
Perkembangan berkaitan, kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan EV mampu milik bawah RM100,000. Dalam pada itu, pengguna juga berpeluang memiliki EV dengan kemampuan bajet dimiliki menerusi CARSOME Certified.
Melalui CARSOME, setiap kereta akan melalui pemeriksaan 175 mata termasuk pengubahsuaian profesional bagi memastikan kualiti serta keselamatan terjamin.
- BACA: ELITESOFT YAKIN DENGAN INDUSTRI EV MALAYSIA – JALIN KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TEMPATAN DAN ANTARABANGSA
- BACA: PROTON RANGKA STRATEGI NEV YANG AGRESIF DI MALAYSIA BERSAMA GEELY
- BACA: REBIU RINGKAS SMART #1: MAMPUKAH TARIK MINAT PEMBELI EV MEWAH DI MALAYSIA?
- BACA: PENGGUNAAN EV MASIH RENDAH DI MALAYSIA, PERLUKAN INSENTIF LEBIH MENARIK