
TOYOTA KEMASKINI MODEL YARIS, TIADA LAGI VARIAN J. HARGA BERMULA RM 83,300
Dalam diam-diam UMW Toyota telah mengemaskini model Yaris dengan beberapa pembaikan pada model hatchback tunggal milik mereka iaitu Toyota Yaris. Ia masih dikuasakan dengan menggunakan enjin 2NR-FE 1500cc 4 silinder dual VVTi yang menjana 106 kuasa kuda dan 140Nm tork. Semua kuasa dihantar ke roda depan menerusi transmisi CVT 7 kelajuan.
Fokus kemaskini yang dilakukan oleh Toyota pada kali ini ialah banyak kepada rekaan dalaman. Antaranya ialah penukaran grafik paparan meter utama daripada biru kepada warna merah/putih, 2 poin USB type c di bahagian belakang bagi menggantikan poin USB lama, corak baru pada fabrik kusyen, dan penggunaan balutan kulit lembut di stering
Namun terdapat juga beberapa perkakasan baru yang diperkenalkan seperti unit paddleshift bagi varian 1.5G bagi memudahkan pemandu mengekstrak tenaga daripada enjin dengan senang ketika memandu. Unit perakam video digital juga telah ditukar kepada unit bar lengkap dengan sambungan tanpa wayar kepada telefon pintar
Lain-lain kemasan termasuklah perumah lampu LED depan yang digelapkan bagi memberikan imej yang lebih sporti kepada Toyota Yaris serta rim 16 inci masih menggunakan rekaan yang sama. Toyota Yaris 2023 juga mengekalkan ciri Apple Car Play, Android Auto, brek AEB, Lane Departure Alert, Sistem Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang dan juga kamera 360 darjah
Kemaskini terbaru kali ini menyaksikan varian J tidak lagi ditawarkan untuk pasaran dan varian 1.5 E dijual dengan harga RM 83,300 tanpa insuran. Bagi varian 1.5G, ia dijual pada harga RM 87,600 dengan tambahan sistem penyaman automatik, 6 pembesar suara, cermin pandang belakang elektrokromik, gear balutan kulit dan sensor parkir di depan.