Buletin

KENDERAAN MASUK KELANTAN DARI UTARA MENINGKAT 5 PERATUS

Polis Kelantan mendapati kemasukan kenderaan dari arah utara iaitu melalui Jalan Gerik-Jeli meningkat sebanyak lima peratus, sejak Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, pertambahan tersebut melibatkan pergerakan kenderaan dari negeri seperti Perak, Kedah dan Perlis.

Bagaimanapun, katanya, kawasan-kawasan sempadan lain melibatkan sekatan jalan raya (SJR) Gua Musang dan SJR Pasir Puteh masih tidak menunjukkan sebarang pertambahan kemasukan kenderaan sehingga Sabtu.

Menurutnya, kawasan-kawasan bandar utama di negeri ini juga berlaku peningkatan kenderaan sebanyak 15 peratus dan ia adalah situasi biasa dan normal menjelang musim perayaan melibatkan penduduk dalam negeri sahaja.

Beliau berkata, untuk musim perayaan Aidiladha kali ini, seramai 1,000 anggota dijangka bertugas melibatkan pemantauan rumah ke rumah termasuklah di SJR dengan penjadualan mengikut giliran yang telah ditetapkan.

“Kami akan lakukan pemantauan seperti biasa iaitu sebagaimana perayaan Aidilfitri dengan cara masuk kampung dan sebagainya untuk melihat jika berlaku aktiviti ziarah yang tidak sepatutnya.

“Jika ada yang pulang dari luar kawasan, kita akan minta surat kebenaran rentas ataupun bukti kenapa mereka pulang ke kampung, apa tujuan dan sebagainya.

“Pihak kami berharap seluruh rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang musim perayaan ini.

“Ibadah korban juga perlu mengikut arahan yang telah ditetapkan. Kita bertanggungjawab sepenuhnya pada diri sendiri untuk mengawal penularan Covid-19 ini,” katanya. –SH

Google ads
Back to top button