Buletin

PEMANDU, PENUMPANG ZON MERAH PERLU JALANI SARINGAN COVID-19 NAK MASUK KELANTAN

Semua pemandu dan penumpang kenderaan dari Zon Merah yang memasuki Kelantan dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Jefny Muhamad berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas yang dijalankan MKN bersama beberapa agensi berkaitan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang mulai hari ini hingga 6 Disember.

“Semua pemandu kenderaan dan penumpang terutama dari zon merah seperti Selangor dan Kuala Lumpur akan diminta menjalani ujian bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.

“Selain itu, sesetengah daripada mereka juga akan dipakaikan gelang mengikut warna tertentu yang ditetapkan Jabatan Kesihatan bagi menunjukkan mereka dari zon merah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata empat sekatan jalan raya di sempadan negeri itu iaitu di Bukit Yong dan Tok Bali masing-masing dalam jajahan Pasir Puteh serta di Gua Musang dan Jeli akan diperketatkan.

Beliau menasihatkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai urusan penting di negeri itu agar menangguhkan terlebih dahulu hasrat untuk ke Kelantan bagi mengelak penularan Covid-19. – Bernama

Google ads
Back to top button