Buletin

MPV MEWAH KIA CARNIVAL HI-LIMOUSINE. 4 TEMPAT DUDUK, MESIN URUT KAKI, CUMA RM320K

Van merupakan antara mode pengangkutan yang popular di pasaran Asia. Ia banyak digunakan di Thailand, Tokyo, Sinagpura dan bandar-bandar Asia yang lain. 

Biarpun minat pengguna sekarang lebih terarah kepada SUV, namun jualan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire terus laris. Bagi mereka yang kurang bajet, MPV buatan China menjadi pilihan. 

Memahami wujud permintaan terhadap kenderaan sebegitu, Kia memperkenalkan Carnival Hi-Limousine pada akhir tahun lepas. Mahu mencabar MPV seperti Mercedes-Benz V-Class, Kia tampil dengan model baharu Carnival dengan empat tempat duduk yang lebih mewah. 

Bayangkan MPV besar itu hanya menempatkan dua tempat duduk jenis kapten dipanggil Premium Relaxation di dalam kabin penumpangnya. Kerusi tersebut dibalut dengan kulit Nappa berwarna beige, lengkap bersama meja kecil untuk menikmati hidangan atau menggunakan komputer riba. 

Kerusi yang membuatkan anda berasa seperti dalam kelas perniagaan pesawat itu boleh dilaras secara elektrik menerusi skrin sentuh bersaiz 7-inci atau telefon pintar. Paparan itu turut mengawal fungsi-fungsi lain termasuklah lampu, pendingin hawa dan televisyen pintar bersaiz 21.5 inci. 

Tidak cukup, anda boleh merehatkan kaki dengan mesin urutan yang dibina khas. Cabut sahaja kasut dan nikmati kelegaannya. Penumpang juga boleh menyimpan minuman sejuk atau panas di dalam kabinet binaan dalam. Tempat meletak minuman juga ada fungsi memanas dan menyejukkan minuman kegemaran anda. 

Kia menawarkan semua kemewahan ini pada harga 87 juta won (RM320,000) seunt. Tapi jika anda bandingkan dengan Lexus LM atau Mercedes-Benz V-Class atau S-Class, harga Carnival Hi-Limousine nampak murah.    

Persoalannya, adakah ia akan ditawarkan oleh Kia di Malaysia. Kalau ada, memang boleh bersaing secara langsung dengan Lexus LM 350 yang berharga RM1.148 juta itu.

GALERI

Google ads
Back to top button