Buletin

KIA DEDAH CARNIVAL 2021 DI KOREA. 3 PILIHAN ENJIN, 11 TEMPAT DUDUK. INI BARU ON!

Kia Carnival akhirnya dilancarkan secara rasmi di pasaran Korea Selatan dengan rekaan luaran dan dalaman yang jauh lebih menarik berbanding model terdahulu. 

Mahu dikenali sebagai Grand Utility Vehicle, ia tampil dengan rekaan gril tiger nose yang lebih lebar, di samping sepasang lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED nipis. Gayaan hadapan diserlahkan lagi dengan bampar yang berlekuk-lekuk dan corong pengambilan udara bersama kemasan krom. 

Bahagian belakang pula menerima bar lampu yang memanjang dan skid-plate seperti sebuah SUV. Pelanggan di Korea Selatan akan ditawarkan engan lapan pilihan warna, selain beberapa reka bentuk rim bersaiz 17, 18 dan 19 inci. 

Carnival hadir dengan beberapa enjin. Ini termasuklah enjin 2.2 diesel Smartsteam berkuasa 199hp dan tork 440Nm, enjin petrol 3.5 liter MPi (268hp dan tork 332Nm) dan enjin 3.5 liter GDi V6 berkuasa 290hp dan tork 355Nm. Semua enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.  

Aspek keselesaan ditingkatkan dengan penggunaan suspensi bebas sepenuhnya. Kualiti NVH juga lebih baik apabila Kia memasang material penyerap bunyi pada kabin, ruang enjin dan penutup bahagian bawah badan.  

Dengan platform baharu, dimensi Carnival generasi keempat ini 40mm lebih panjang dan tapak roda 30mm lebih lebar. Bergantung kepada pasaran, Kia menawarkan konfigurasi tiga atau empat baris tempat duduk dengan kapasiti  tujuh, lapan atau 11 orang penumpang. 

Untuk konfigurasi 7 tempat duduk, Carnival dilengkapi kerusi ‘Premium Relaxation’ boleh laras di baris kedua. Jika hanya tempat duduk hadapan digunakan, MPV itu mampu menyediakan ruang kargo seluas 2,905 liter. 

Papan pemuka yang telah direka semula dipasang dengan paparan instrumen digital dan skrin sentuh sistem infohibur (kedua-duanya bersaiz 12.3 inci) menerusi satu kepingan kaca. Apple CarPlay dan Android Auto hadir sebagai ciri standard. 

Bagi pasaran terpilih, perkhidmatan Kia Live yang menawarkan maklumat trafik pada masa sebenar, ramalan cuaca, lokasi menarik dan parkir ada disediakan. 

Kia juga menawarkan satu ciri menarik iaitu Rear Passenger View & Talk yang membolehkan penumpang hadapan memantau mereka berada di belakang menerusi satu kamera kecil yang dihubungkan kepada sistem infohibur. 

Carnival akan mula dijual di Korea pada suku ketiga tahun ini, sebelum disusuli oleh pasaran lain. 

GALERI

Google ads
Back to top button