KIA SONET, LAGI SUV YANG RUGGED DAN CUN DARI KIA!
Kia nampaknya tidak berhenti dengan menawarkan model-model baharu. Ada sahaja yang ditawarkan seperti Seltos, model gantian Carnival, Sorento dan Optima.
Kesemua model itu tampil menawan dan Kia mempunyai satu lagi model iaitu SUV kompak Sonet yang dijadual diperkenal di India pada 7 Ogos 2020.
Sebelum ini Kia hanya mendedahkan gambar selingan dan syarikat dari Korea Selatan itu baru sahaja berkongsi lakaran luaran dan dalaman.
Dari apa yang ditonjolkan nampaknya Kia sekali lagi berjaya tampil dengan reka bentuk menarik.
Tawaran SUV global Kia sudah lengkap dengan pelbagai segmen dari Sorento, Sportage, Seltos dan terbaru Sonet. Menariknya kesemua SUV itu bermula dari huruf S.
Di dalam siaran media yang dikongsi, Kia memaklumkan Sonet sudah sedia untuk dikeluarkan.
Ini bermakna lakaran yang dikongsi mempunyai persamaan dengan model sebenar.
Dari depan, Sonet membawa gayaan rugged dan berlekuk. Ia berbeza dengan Seltos dan Sorento yang tampil bersegi.
Kia memaklumkan lampu utama LED Sonet mengulangi gaya Wild by Design iaitu tema yang mempengaruhi SUV ini.
Satu ciri menarik ialah gayaan Sonet turut dipengaruhi oleh senibina India iaitu perincian tiga dimensi stepwell (tangga menuju ke kolam) pada corak gril.
Dari tepi pula memang jelas kelihatan saiz Sonet yang kompak manakala bahagian belakang tampil senada dengan gayaan depan yang lasak.
Bahagian dalam kelihatan turut membawa gayaan rugged. Komponen seperti corong penyaman udara direka bersegi dan paling menonjol ialah skrin papan pemuka yang memanjang.
Paparan digital dan kluster instrumen mempunyai skrin sentuh 10.25 definisi tinggi dengan sistem navigasi dan teknologi UVO Connected.
Stereng Sonet mempunyai suis kawalan dan pemandu boleh memilih beberapa jenis mod pemandu serta cengkaman.
Ini bermakna Sonet bukan sekadar SUV biasa kerana dilengkapi ciri-ciri seperti SUV lebih premium.
Dari segi keselamatan, Sonet dilengkapi enam beg keselamatan serta pelbagai teknologi aktif dan pasif.
Berkenaan rangkaian kuasa, Kia masih belum mendedahkannya dan ada laporan media mengatakan ia dijana oleh enjin 1.0 liter turbo dan juga enjin diesel.
Kia Sonet dikeluarkan di India dan dirancang untuk dijual di pelbagai pasaran antarabangsa lain.
Jika ditawarkan di pasaran tempatan, ada yang berminat tak?
BACA: KIA K5 UNTUK AS, MENGANCAM TAK? ADA ENJIN TURBO DAN AWD
BACA: KIA CARNIVAL 2021. SERLAH REKAAN SUV, LEBIH MEWAH DAN MASKULIN