Buletin

KIA K5 UNTUK AS, MENGANCAM TAK? ADA ENJIN TURBO DAN AWD

Di Amerika Syarikat, sedan eksekutif Optima kini digantikan nama ringkas K5 selaras dengan pengenalan model baharu. Pengguna di AS turut cenderung pada model sedan sporti dan ini boleh dilihat bagaimana Camry baharu dipersembahkan dalam rupa depan yang garang.

Ini pula tawaran dari Kia iaitu K5 GT dan K5 GT AWD. Warna biru yang ditampilkan ialah K5 GT manakala kelabu K5 GT AWD.

Secara amnya, K5 dalam lima varian iaitu LX 1.6T, LXS 1.6T, GT-Line 1.6T, EX 1.6T dan GT 2.5T. 

Dari segi rangkaian kuasa, K5 GT-Line 1.6T dilengkapi enjin 1.6L Turbo I-4, Gasoline Direct Injection (T-GDI) GAMMA-II yang dipadan bersama transmisi baharu lapan kelajuan automatik.

Varian tersebut mempunyai output kuasa 180 HP pada 5,500 rpm dan tork 195 lb.-ft (264 Nm) dari 1,500 hingga 4,500 rpm. 

Satu perkara menarik tentang varian GT-Line 1.6T dan LXS 1.6T apabila ia dua varian itu sahaja dilengkapi pacuan semua roda (AWD). 

Sistem AWD yang digunakan berasaskan pacuan roda depan dengan K5 merupakan sedan Kia pertama yang mengadaptasi pacuan semua roda.

Pacuan tersebut menggunakan sistem elektro-hidraulik bagi mengawal pengganding (coupling) AWD untuk respon lebih pantas dan kawalan lebih jitu.

Satu lagi varian sporti dan paling berkuasa ialah K5 GT 2.5T yang menggunakan enjin 2.5L Turbo I-4, Gasoline Direct Injection + Multi Port Injection (T-GDI + MPI) THETA-III.

Enjin itu dipadan bersama transmisi lapan kelajuan klac berkembar (DCT) dan menggunakan pacuan roda depan (FWD).

Output kuasa ialah 290 hp pada 5,800 rpm dan tork 311 lb.-ft (422 Nm) dari 1,650 hingga 4,000 rpm. Transmisi 8 DCT jenis basah dibangunkan secara dalaman oleh Kia dan sesuai dengan karakternya yang sporti.

Pecutan dari 0 hingga 60 bsj (97 km/j) memerlukan 5.8 saat.

Dari segi casis, K5 menggunakan platform N3 yang bakal digunakan pada model masa depan Kia. Dengan platform baharu tersebut, K5 nampak lebih panjang, rendah dan lebar berbanding Optima sebelumnya.

Berikut ialah perbezaan secara terperinci:

  • Panjang: 193.1 inci (tambahan dua inci).
  • Lebar: 73.2 inci (tambahan seinci).
  • Tinggi: 56.9 inci (tambahan 0.8 inci).
  • Jarak roda: 112.2 inci (tambahan 1.8 inci).

Dari segi pengendalian dan pemanduan, geometri suspensi dioptimum untuk pengendalian sporti, kesambutan (responsiveness) dan kestabilan.

K5 GT 2.5T ekstra dengan suspensi talaan sport, angkup brek GT dan cakera brek lebih besar berbanding varian lain.

Struktur K5 mempunyai tambahan komponen tera panas (hot stamp) dan peningkatan purata kekuatan tensil yang meningkat. 

Selain itu, suasana di dalam kabin lebih nyaman dan premium hasil penggunaan bahan penebat dan cermin depan berlamina akustik.

Berikut pula ciri keselamatan Kia K5:

  • Forward Collision Warning (FCW).
  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) (Kenderaan, objek, pejalan kaki dan penunggang basikal di hadapan.
  • Standard Driver Attention Warning.
  • Standard Lane Following Assist (LFA).

Dari segi penampilan, ternyata reka bentuk yang dibawa ini unik dengan cara tersendiri. Bagaimana lampu, gril dan bampar dibentuk berjaya membawa identiti yang lari daripada kebiasaan.

Corak gril diinspirasi daripada kulit ikan jerung dengan varian GT-Line dan GT menggunakan bampar depan sport. Bahagian belakang juga berbeza dengan spoiler hitam licau (gloss black).

Satu lagi karakter dan ciri sporti GT-Line dan GT ialah kombinasi tayar dan roda. Masing-masing dilengkapi roda 18 inci dan 19 inci dan menariknya menggunakan tayar Pirelli P-Zero.

Dengan segala pakej yang ditawarkan ini, Kia merancang K5 untuk berjaya dan memberikan satu saingan menarik di dalam segmennya. 

Bagaimana pula dengan pasaran tempatan? Secara tradisinya Optima ditawarkan sejak generasi terdahulu hingga sekarang. Susunan pakej pada harga yang ditawarkan juga sentiasa menarik perhatian.

Adakah K5 bakal ditawarkan nanti? Kita tunggu berita daripada pengedarnya.

BACA: KIA PICANTO FACELIFT 2021. 2 PILIHAN ENJIN, BAKAL MASUK PASARAN EROPAH

BACA: KIA CARNIVAL 2021. SERLAH REKAAN SUV, LEBIH MEWAH DAN MASKULIN

BACA: D4HA – ENJIN HEBAT DARI REVOLUSI HYUNDAI & KIA

Kredit foto: Kia Motors

Kia K5 GT-Line AWD

Kia K5 GT

Google ads
Back to top button