Artikel Pilihan

D4HA – ENJIN HEBAT DARI REVOLUSI HYUNDAI & KIA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang sebuah enjin Diesel yang bukan sahaja menaikkan nama Hyundai dan KIA, ia juga mampu “menapau” enjin buatan Jerman dan Perancis.

Di sini kita mampu memuji pihak Hyundai/KIA yang tak pernah putus berusaha. Kenapa ? Tiada kejayaan tanpa kegagalan. Enjin Diesel mereka berkod D4CB sebelum ini menerima pelbagai kritikan akibat pelbagai masalah.

Mungkin ada yang bertanya, D4CB ini enjin apa ? D4CB ini merupakan enjin Diesel yang diletakkan pada ruangan enjin jentera yang agak popular di negara kita. Hyundai Grand Starex pada circa 2008.

Umum mengetahui enjin ni kuat dan laju je, tak ramai yang tahu berlonggok-longgok kritikan diterima oleh enjin ini. Eh, hebat kan ? Nanti dulu, D4HA lagi hebat.

Enjin ini dilahirkan pada tahun 2009 dan digunakan oleh Hyundai Tucson dan Kia Sportage pasaran Korea pada awalnya. Enjin berkod D4HA ini merupakan enjin yang berada di dalam keluarga R-Engine. Ia mempunyai sesaran sebanyak 1,995cc (2.0L). Nampak remeh je kan sesaran macam ni ? Nanti dulu ! Baca sampai habis.

Unit blok enjin ini dibuat menggunakan “Compacted Graphite Iron”. Material ini adalah lebih ringan dan lebih kuat daripada “Cast Iron”. Ciri-ciri ini sangat penting untuk enjin Diesel kerana faktor tekanan pembakaran yang tinggi. Nilai Bore X Stroke pula adalah 84mm X 90mm. Nilai nisbah tekanan pula adalah 16:1.

Kemudian, unit blok enjin ini dipadankan pula dengan unit kepala silinder yang diperbuat daripada aluminium. Barulah ringan. Unit kepala silinder ini memuatkan 16 injap dan sepasang aci sesondol. Dapat dilihat disini konfigurasinya adalah DOHC 16 Valve ye Tuan-Tuan.

Unit Aci Sesondol masukan dan ekzos pula dipacu oleh rantai pemasaan (Timing Chain). Bukan satu, tapi dua rantai pemasaan. Unit injap dilengkapi dengan tapet hidraulik. Jadi tak perlu lah nak ejas ejas. Senang kerja. Rosak, tukar je baru.

Untuk sistem bahanapi, enjin ini menggunakan sistem “Common Rail Direct Injection”(CRDI) generasi ketiga daripada Bosch. Sistem ini datang dengan unit “Piezo-Electronic Injectors”.

Unit pemancit bahanapi ini dikawal secara elektronik dan mampu beroperasi dengan tekanan yang sangat tinggi sehingga 1,800bar ! Ni kalau pancit kat tangan, berlubang Tuan-Tuan.

Seperti yang kita tahu, enjin diesel menyedut 100% udara ketika lejang masukan dan bukannya campuran udara dan bahanapi seperti enjin petrol. Untuk meningkatkan kecekapan haba enjin, satu unit turbo digunakan sebagai bantuan.

Dengan adanya unit turbo ini, secara automatik ia dapat membantu enjin mendapatkan tork yang tinggi pada RPM rendah. Untuk mengetahui asas operasi enjin diesel, boleh rujuk artikel daripada Farhan Alias yang bertajuk “Eh, betul ke enjin diesel lagi power”. Setelah baca, anda akan lebih mudah faham tentang operasi enjin ini serta fungsi unit turbo yang digunakan.

Berbalik kepada cerita unit turbo tadi, turbo yang digunakan enjin ini adalah dari jenis “Electronic Variable Geometry Turbocharger”(e-VGT) dimana geometri turbo ini dikawal secara elektronik. Secara tidak langsung, ia dapat memberikan kuasa maksimum serta mengurangkan kesan “Turbo Lag”.

Selain daripada kuasa, fokus Hyundai/KIA untuk enjin ini adalah ianya mestilah sebuah enjin yang ringan. Jadi, pemilihan material adalah sangat penting.

Untuk komponen-komponen seperti penutup kepala silinder (Cylinder Head Cover), perumah penapis minyak (Oil Filter Housing), dan “Intake Manifold” dibuat dengan material plastik.

Tahan ke ? Dah nak masuk 2020 ni Tuan-Tuan, jangan tanya soalan macam ni. Yang buat tu jurutera bertauliah, bukannya acah-acah jurutera dari lulusan facebook.

Memetik kata-kata Dr Hyun-Soon Lee, Presiden divisi R&D Hyundai/Kia, “R-Engine proves Hyundai/KIA diesel development capabilities really are world class. With diesel becoming cleaner & more efficient all the time, there’s a growing demand for diesel power plants worldwide & Hyundai/KIA is well positioned to supply the market with the very best diesel technology“.

Kata kunci ayat “cleaner” tu. umum mengetahui peraturan emisi yang ketat di Eropah. Dan fokus Hyundai/KIA pun memang ke arah sana. Jadi, untuk mencapai tahap emisi Euro-5, enjin ini dilengkapi dengan “Diesel Particulate Filter” yang berfungsi untuk menapis jelaga (soot) yang dihasilkan daripada pembakaran enjin diesel. Enjin ini juga dilengkapi dengan sistem “Exhaust Gas Recirculation”(EGR) yang ditambah baik.

Kata kunci ayat “efficient” pula bermaksud enjin ini memang efisyen. Kuasa ada, penjimatan bahanapi pun ada. Penggunaan bahanapi yang dicatatkan gabungan pemanduan bandar dan lebuhraya adalah 6.4 Liter per 100km (6.4L/100km). Jimat lah ni, nak jimat macam mana lagi kan. Haha.

Dengan semua ciri-ciri diatas, enjin ini menghamburkan kuasa sebanyak 183hp pada 4,000rpm dan daya kilas sebanyak 400Nm pada 1,750rpm. 400Nm Tuan-Tuan, tolong lah jangan tanya larat naik genting ke tak.

Untuk perbandingan, enjin ini lebih kuat daripada enjin Toyota Hilux yang bersesaran 2.4L yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 148hp dan daya kilas sebanyak 400Nm.

Eh, kata nak lawan Eropah, kenapa lawan Hilux pula ? OK OK. Untuk perbandingan sekali lagi, enjin diesel EA189 daripada Volkswagen Group siri CAHA dan CBBB yang digunakan pada Audi TT, Audi A5 dan Audi A6 pasaran Eropah yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 168hp dan daya kilas sebanyak 350Nm. Sesaran sama, 2.0L juga.

Di manakah di Malaysia ini kita boleh lihat enjin ini ? Ada ke ?

Ada Tuan-Tuan. Boleh pergi ke showroom KIA dan cuba try test model Sportage terbaru mereka. Anda akan terkesima bagaimana berkuasanya enjin ini memacu sebuah SUV yang beratnya dalam lingkungan 1.5tan. Ditambah pula dengan sistem transmisi 8-kelajuan buatan sendiri Hyundai/KIA. Memang umph. Geng Civic ketam jangan lah cuba cucuk, takut malu. Haha.

Ada lagi satu varian R-Engine sebenarnya iaitu enjin yang bersesaran 2.2L. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 190hp dan daya kilas sebanyak 440Nm.

Enjin ini dipasang pada KIA Sorento dan Grand Carnival. Ia juga dipasang pada Hyundai Santa Fe. Lagi padu bossku ! Grand Starex 2.5L tu pun kalah. Alphard/Vellfire ? Simpan je lah lampu tinggi korang tu ye. Nak tanya lebih-lebih boleh tanya Salesman mereka, saya di sini cerita enjin je. Haha !

Kesimpulannya, ini baru sedikit teknologi yang ditunjukkan oleh Hyundai/KIA. Banyak lagi teknologi mereka yang orang tak tahu tapi sebenarnya wujud dan sudahpun berada lama di pasaran.

Mungkin persepsi orang kita terhadap jenama dari Korea masih skeptikal. Namun percayalah, revolusi industri itu adalah benar. Dalam perlumbaan teknologi, siapa lambat siapa leka dia kalah. Belajarlah dari sejarah. Syabas Hyundai/KIA ! Anda telah berjaya !

  • Penulis bukanlah peminat K-Pop namun sangat mengagumi Park Ji Sung. Penulis juga bukanlah peminat Manchester United.
Google ads
Back to top button