
KILANG TAYAR SILVERSTONE DI PERAK AKAN DITUTUP?
Operasi pengeluaran tayar di kilang milik Silverstone Berhad dijangka ditutup pada 30 Jun 2021.
Dalam satu notis yang dilihat sendiri oleh Mekanika Malaysia, Silverstone Berhad menyatakan bahawa pengeluaran tayar jenama Silverstone akan dibuat di kilang Toyo Tyre Malaysia Sdn. Bhd.
“Hari ini saya telah diwakilkan oleh pihak pengurusan syarikat untuk menyampaikan satu penyataan penting berkaitan masa depan Silverstone Berhad.
“Sebelum itu, saya memohon agar anda semua tenang dan mendengar dengan teliti penyataan ini. Jabatan Sumber Manusia atau HR akan mengadakan sesi pertemuan dengan pekerja bagi memberi penjelasan lebih terperinci dan menjawab sebarang pertanyaan dari pekerja,” jelas notis berkenaan.
Keputusan penutupan kilang Silverstone dibuat oleh Toyo Tire Corporation di Jepun yang merupakan pemegang 100 peratus saham Silverstone Berhad.
Langkah tersebut terpaksa dibuat berikutan keupayaan kilang Silverstone yang sudah berusia 30 tahun telah menurun dari semua aspek. Ini termasuklah mesin, kecekapan pengeluaran dan penyelenggaraan bangunan.
Keadaan diburukkan lagi dengan impak penunaran COVID-19 yang memberi kesan negatif terhadap daya maju dan kesinambungan perniagaan.
Keputusan sukar itu juga terpaksa dibuat kerana saingan sengit dalam segmen tayar yang sama berikutan kemasukan tayar dari Thailand, Indonesia dan China.
Biarpun begitu, pihak pengurusan Silverstone Berhad menegaskan bahawa kebajikan pekerja akan terus dilindungi.
Usaha Mekanika untuk menghubungi kilang Silverstone di Kamunting bagaimanapun gagal.