Buletin

TOYO PROXES CR1 MASUK PASARAN MALAYSIA. HARGA BERMULA RM160

Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn. Bhd. melancarkan produk terbaharu, Toyo Proxes CR1 yang direka khusus untuk segmen kereta penumpang dan SUV di Malaysia.

Model Proxes CR1 menawarkan empat manfaat berbeza iaitu senyap, selamat, selesa dan didatangkan dengan gred tinggi.

Senyap

– Penggunaan bahan penyerap bunyi di dalam tayar mampu mengurangkan kadar bising di jalan raya sekali gus memberi keselesaan dan meningkatkan keseronokan pemanduan.

– Corak bunga tayar menampilkan ciri Out-In Different pitch arrangement. Ia dilengkapi lapisan perlindungan kebisingan yang mampu mengurangkan kadar pelepasan tenaga bunyi terhasil di setiap bahagian tayar.

Selamat

– Tayar Proxes CR1 menawarkan prestasi unggul ketika berada di jalan basah dan kering. Di atas permukaan basah, produk terbaharu ini berfungsi dengan lebih baik.

– Ia berikutan tayar ini didatangkan corak saliran terdiri daripada empat jalur lebar utama yang membantu dalam mengalirkan air dengan lebih pantas.

– Selain itu, tayar ini menampilkan ciri triple taperdan rib membantu menambahbaik ketahanan terhadap kehausan bunga dan meningkatkan prestasi ketika melalui permukaan kering.

– Ciri multi-wave sipe pula membantu menghalang kadar kehausan yang tidak sekata pada sisi tayar.

– Bagi memastikan prestasi pemanduan terbaik pada kelajuan tinggi, ia didatangkan dengan Jointless cap ply.

Selesa

– Rekaan Proxes CR1 menawarkan pemanduan lebih lancar dan menyenangkan dengan penggunaaan teknologi canggih Toyo T-Mode dan Nano Balance.

Gred Tinggi

– Secara keseluruhan, Proxes CR1 mampu mengurangkan sehingga 11 peratus kadar bunyi dan 2 peratus pengurangan kesan aquaplaning, sekali gus meningkatkan prestasi di atas permukaan basah berbanding model terdahulu, Nano Energy 3.

– Selain itu, Proxes CR1 turut mempunyai kadar rintangan golekan yang lebih rendah yang menyumbang kepada penggunaan bahan api lebih baik.

Presiden/Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn.Bhd., Tan Song Chye, berkata, tayar Toyo Proxes CR1 sangat ideal digunakan pada kenderaan Jepun dan Continental, khususnya kereta serta SUV antara segmen A sehingga segmen D.

“Proxes CR1 dibangunkan melalui teknologi termaju Jepun mampu memenuhi keperluan pemandu terutama bagi yang menghargai tayar menawarkan prestasi unggul dan pemanduan pada kelajuan tinggi secara konsisten, baik di atas permukaan jalan basah ataupun kering.

“Dalam pada itu, ia turut menawarkan ciri-ciri keselamatan, penggunaan bahan api lebih efisien dan pengurangan bunyi bising yang menyumbang kepada pemanduan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pelumba drift professional Malaysia,Tengku Djan Ley, berpeluang menguji tayarProxes CR1 ini pada kereta Mercedes-Benz C230 beliau.

Dia berkata, tayar CR1 menawarkan pemanduan yang selesa dan selamat untuk kegunaan di lebuh raya dan jalan biasa.

Proxes CR1 untuk kereta penumpang boleh didapati dalam 36 saiz bermula dari rim berdiameter 14 inci hingga 18 inci.

Bagi SUV pula, ia didatangkan dengan sembilan saiz untuk rim berdiameter 17 hingga 19 inci.

Produk terbaharu ini dijual pada harga bermula dari RM160 hingga RM440 manakala tayar SUV Proxes CR1 pula bermula dari RM380 hingga RM580 bergantung kepada saiz tayar.

Tayar Toyo Proxes CR1 boleh didapati di Pusat Tayar Toyo dan Pusat Tayar Silverstone di seluruh negara.

Para pengguna yang membeli satu set tayar Proxes CR1 akan menerima hadiah percuma berupa payung edisi terhad Proxes CR1 sempena pelancaran produk terbaharu ini.

Google ads
Back to top button