Pandu Uji

PANDU UJI: BEZZA VS SAGA

Salah satu kod etika seorang jurutera ialah dia hanya boleh mengeluarkan kenyataan umum yang jujur, termasuklah laporan dan testimoni. Pendapat teknikal tersebut hendaklah berdasarkan pengetahuan dan dia mestilah kompeten dalam perkara tersebut. Jurutera dilarang sama sekali mengeluarkan kenyataan sokongan atau kritikan berbayar

Jadi laporan pandu uji kami bak kata kawan mat saleh Abam Jaapar ialah “no sugar coating”. Kami sertakan perbandingan antara Proton Saga 1.3 Premium vs Perodua 1.3 X – Gear Up dalam bentuk poin mudah dibaca dan difahami.

1. Rekaan Luaran

Rekaan 3 kotak yang digunakan oleh Saga masih lagi memiliki bentuk model BLM, FL dan juga FLX. Model 2019 ini hadir dengan bentuk korporat baru iaitu Infinite Wave pada bampar depan. Lampu kabus digantikan dengan lampu DRL LED. Rim 15 inci dengan 5 bilah berkembar menghasilkan imaj sporti pada Saga

Bezza mengambil cesi asas Axia dan Perodua bersungguh benar memberikan rekaan yang lebih baik dari Bezza 2016. Bampar depan memakai rekaan X design. Bampar belakang direka semula agar lebih seksi. Lampu depan halogen digantikan dengan LED ala Lancer. Rim dinaiktaraf kepada saiz 15 inci. Dari jauh rekaan bampar depan nampak seperti Vios 2016.

2. Rekaan Dalaman

Sistem audio dengan skrin sesentuh diberikan pada Saga lengkap dengan ciri kamera pandang belakang. Namun ia tiada fungsi Hi Proton. Kusyen pula menerima fabrik ala denim. Paparan meter Saga nampak lebih elegen dari Bezza. Roda stering Saga menyediakan butang kawalan audio dan boleh dilaras.

Bezza 1.3 X hanya menerima audio kawalan butang dengan sambungan “gigi biru”. Bagi unit pandu uji, ia ditawarkan dengan aksesori Gear Up merangkumi kusyen balutan kulit, pelapik kaki, scuff plate dengan lampu, penyangkut, poket pada sunvisor, perehat tangan dan lampu kabin berwarna biru. Waktu malam nampak elegen. Namun sayang stering Bezza tidak boleh dilaras.

3. Sistem Trenkuasa

Saga dan Bezza menggunakan enjin 4 silinder DOHC dengan sesaran 1300cc. Apa yang membezakan ialah sistem pemasaan injap. Saga menggunakan sistem antik VVT manakala Bezza menggunakan dual VVT-i. Kuasa enjin adalah sama iaitu 94 kuasa kuda (Saga pada 5750 RPM, Bezza 6000 RPM). Pada 4000 RPM, Bezza menghasilkan 121Nm dan Saga 120Nm

Saga dan Bezza menggunakan transmisi 4 kelajuan namun tiada data yang diperolehi berkenaan ratio yang digunakan. Transmisi Saga 4 kelajuan menggantikan transmisi CVT.

Ujian pecutan dari 0-100km/j bagi Bezza mencatatkan masa sekitar 15.61 saat. Saga pula mencatatkan masa 16.7 saat bagi ujian sama.

4. Ergonomik

Kusyen Saga lebih sedap apabila dipandu jarak jauh. Sokongan pada bahagian bawah pinggang dan pinggul adalah cukup. Ketinggian kusyen dan roda stering boleh dilaras memberikan kedudukan pemanduan yang ideal. Kedudukan kusyen belakang lebih selesa tapi sayang tiada perehat kepala disediakan. Namun pearasan ketinggian kusyen pada bahagian pinggul rasa susah untuk menemui tahap keselesaan yang sesuai.

Kusyen Bezza hanya menawarkan sedikit sokongan pada bahagian pinggang manakala bahagian atas menyebabkan bahu ditolak ke depan. Kedudukan stering yang kekal menjadikan pemanduan jarak jauh agak meletihkan. Hanya kusyen boleh dilaras ketinggian.

Sudut penyandar kusyen belakang ditambah sebanyak 4 darjah dan perehat kepala disediakan. Ditambah pula dengan stering tidak boleh laras, lengan rasa tergantung

5. Sokongan peralatan pemandu

Saga menyediakan anak kunci biasa yang perlu dipulas, kamera pandang belakang, sensor parkir depan, lampu kabin LED, 3 poin pengecas telefon, dan empat tempat meletak minuman.

Bezza menyediakan butang cermin automatik satu sentuhan, butang tekan hidup dengan kunci sistem keyless, sensor parkir depan dan belakang, 2 penyangkut serbaguna dan satu penyangkut beg keselamatan. Disebabkan perehat tangan dipasang, tiada poin pengecas telefon disediakan.

6. NVH

Dari aspek kebisingan, Saga dan Bezza mendapat bacaan yang hampir sama semasa diukur pada kelajuan yang ditetapkan di lebuhraya. Saga dan Bezza mendapat bunyi bising disebabkan faktor tayar, dan dalam kes Saga jika permukaan jalan teruk, bunyi bising semakin kuat.

Disebabkan menggunakan stering kuasa hidraulik, terdapat sedikit gegaran halus pada roda stering. Bunyi angin akan kedengaran pada Bezza apabila halaju mulai mencecah 120km/j dan ke atas.

7. Sistem Keselamatan

Saga dan Bezza medapat sistem keselamatan 2 beg udara SRS, brek ABS dan EBD, Sistem Kestabilan Elektronik dan Kawalan Cengkaman serta Bantuan Mula Mendaki. Semua model mendapat pengiktirafan 4 bintang daripada Asean NCAP. Hanya Bezza AV sahaja yang mendapat sistem ASA 2.0 diiktiraf dengan 5 bintang NCAP

8. Pengalaman Pemanduan

Proton Ride and Handling memberikan pengalaman pemanduan Saga melebihi Bezza. Sistem stering Saga menggunakan bantuan kuasa hidraulik, memberikan kelebihan pengendalian di waktu selekoh. Bahagian depan kereta tidak teragak-agak untuk menurut perintah.

Walau dipandu laju, Saga kekal stabil walaupun halaju mencecah 170km/j. Suspensi Saga pada pandangan penulis adalah lebih sedap berbanding dengan sedan buatan Jepun yang dipandu oleh penulis terutama dari aspek aspek bounce and rebounce.

Bezza menampilkan roda baru dan tetapan angin tayar diubah kepada 230kpa (depan) dan 200kpa (belakang). Ia menjadikan stering lebih stabil dan tayar depan kurang melantun ketika melalui jalan tidak rata. Kestabilan pada jalan lurus diperbaiki namun Saga lebih baik dalam aspek ini. Ia lebih bersifat kereta bandar berbanding Saga yang lebih gemarkan jalan berselekoh. Jika dipandu pada 140km/h, pemandu harus memberikan tumpuan penuh.

Saga menggunakan tayar 185/55 dengan rim 15 inci dipadankan dengan tayar Silverstone Kruizer. Tayar ini menjadikan pengendalian Saga tumpul dan tidak meyakinkan ketika hujan lebat. Bezza pula menggunakan Hankook Kinergy dengan saiz 175/60 dengan rim 15 inci. Ia lebih meyakinkan ketika hujan walaupun bunyi tayar agak kuat

Transmisi Saga 4 kelajuan yang baru jauh lebih baik dari transmisi CVT. Terdapat fungsi S pada tombol gear bagi membantu pecutan. Jika pedal ditekan rapat, gear akan bertukar pantas ke gear 3. Tiada lagi gegaran dan rubber band effect seperti transmisi CVT.

Bezza juga menggunakan transmisi 4 kelajuan. Gear 1, 2, dan 3 memberikan pecutan baik setiap kali penukaran gear dibuat sekitar 2200 RPM. Namun sebaik masuk ke gear 4, pecutan akan menjadi lemah dan RPM akan berada sekitar 1800 RPM

Pada pengamatan penulis, Bezza dan Saga menggunakan ratio yang rendah pada gear 4. Dalam sesetengah keadaan, kedua dua unit gear pada Bezza dan Saga kadangkala gagal meneka situasi pemanduan dengan tepat, membiarkan gear 4 walaupun baru keluar dari simpang. Pecutan pada gear 4 dengan tork 121Nm memang tak cukup

9. Purata penggunaan petrol

Berdasarkan pemerhatian kami, RPM enjin dual VVT-i Bezza akan sentiasa lebih rendah berbanding dengan RPM enjin VVT Saga. Ini akan memaksa enjin Bezza bekerja dalam BSFC (brake spesific fuel consumption) yang lebih baik.

Secara purata penggunaan petrol Bezza yang melibatkan halaju antara 60-140km/j (maksimum) adalah sekitar 16.32km per liter petrol. Memandangkan enjin Bezza ini kurang lagi 1000km, kami menjangkakan penggunaan petrol akan terus menurun selepas service pertama.

Cara pemanduan Saga sama seperti Bezza, kecuali ada sekejap penulis melenjan Saga sehingga 180km/j. Ia mencatatkan bacaan purata sekitar 13.14km per liter petrol

10. Sistem Audio

Saga datang dengan sistem audio dengan skrin sesentuh. Kualiti bunyi yang dihasilkan boleh dipuji pada segmen A. Anda boleh mengubah pelbagai parameter kualiti bunyi termasuk bass dan treble. Namun semakin kuat bunyi, kekungkinan panel pintu akan bergetar.

Bezza hanya menawarkan radio dengan kawalan butang. Kualiti bunyi sedikit mengecewakan. Terdapat tetapan untuk mengubah kualiti bunyi, namun agak terhad. Tiada butang kawalan audio pada steering seperti Saga disediakan.

11. Lampu

Saga menggunakan lampu hadapan mentol halagen dengan reflektor. Samaada rekaan reflektor teruk ataupun mentol tak cukup terang, ia gagal menerangi jalan pada waktu malam dengan baik. Kalau hujan waktu malam ia tidak boleh diharap. Lampu DRL disediakan namun sebaik lampu depan menyala, ia akan padam. Tiada lampu kabus disediakan

Bezza hadir dengan lampu utama, lampu tinggi dan lampu kecil teknologi LED dengan reflektor. Lampu kabus menggunakan halogen. Ia jauh lebih baik dari lampu depan Saga. Jika anda lupa menutup suis, ia akan padam dengan sendiri sebaik pintu dibuka

12. Pemerhatian lain pada Bezza dan Saga

Saga merupakan kenderaan persendirian milik ahli keluarga penulis. Setelah beberapa bulan menggunakan kereta ini, terdapat masalah pada alat sensor parkir depan. Relay kipas radiator pula rosak menyebabkan hampir belaku overheat pada enjin. Penutup bonet belakang tidak ditutup dengan bahan kedap bunyi.

Bezza pula ada masalah rekabentuk di bahagian roda stering. Ia sedikit tajam menyebabkan ibu jari penulis terasa sakit jika dipandu lama. Aspek pengendalian Bezza walaupun sudah dipertingkatkan, namun ia tidak terasa solid seperti Saga

13. Saga atau Bezza?

Jika anda memerlukan kereta untuk bergerak dari titik A ke B dengan efisyen di dalam bandar, ruang kargo sebesar 508 liter, datang dengan ciri kereta moden, Bezza sesuai untuk anda. Untuk pemanduan jarak jauh, jika anda berumur 30an dan ke atas, badan akan menjadi penat. Bezza 1.3 X ditawarkan pada harga RM 43,980 tak termasuk cukai jalan dan insuran.

Saga masih menggunakan platform lama, masih menggunakan enjin VVT, namun datang dengan transmisi baru namun pada harga yang lebih mampu milik. Jika melalui jalan berselekoh, ia memilih tagline Smiles over miles per gallon. Ia ditawarkan pada harga RM 39,800 tidak termasuk insuran.

Bagi bakal pembeli baru, pastikan dulu apakah keperluan dan kehendak anda. Saga dan Bezza ada kelebihan dan kelemahan masing masing. Pastikan ia sesuai dengan jiwa anda sebelum meletakkan duit pendahuluan 10%.

Nah, tengok video ni

Google ads
"
"
Back to top button