" "
Buletin

KAKITANGAN PERODUA JALIN KERJASAMA REKA BENTUK MODEL DAIHATSU. PADU BOSSKU!

Kakitangan Perodua kini sedang bekerjasama dengan Daihatsu Japan dalam mereka bentuk model Daihatsu. Ini merupakan salah satu usaha untuk mengeksport kepakaran ke luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad memberitahu, Perodua akan terus memanfaatkan hubungan rapat dengan Daihatsu untuk merealisasikan objektif Perodua Smart Build.

“Perodua Smart Build merupakan evolusi daripada objektif asal penubuhan Perodua dan industri automotif Malaysia iaitu untuk mewujudkan ekosistem automotif yang mapan dan kukuh,” katanya.

Perodua Smart Build ialah ‘Transformasi 3.0’ Perodua yang dibina berdasarkan kejayaan-kejayaan sebelumnya.

Perodua Smart Build akan dicapai dengan bantuan pemegang saham dan rakan teknologi serta teknikal kami, Daihatsu Motor Company of Japan dan kerajaan Malaysia yang mewujudkan ekosistem ini untuk memberi faedah kepada negara.

Inisiatif berkenaan direka untuk membantu Perodua dan ekosistem automotif negara memanfaatkan Dasar Automotif Nasional dengan menjadikan industri itu lebih berdaya saing dan maju.

Antara komponen utama Perodua Smart Build adalah pembangunan produk sepenuhnya oleh Perodua dan para pembekalnya. Di samping pembentukan budaya kerja dan pemikiran kelas pertama yang akan menyumbang kepada negara.

“Pelancaran Perodua Smart Build tidak bermaksud kami telah mencapai potensi penuh komponen-komponen ini. Sebaliknya, ia menandakan permulaan perjalanan Perodua dan rakan-rakan niaganya menuju tahap daya saing yang lebih tinggi.

“Kami berterima kasih kepada Daihatsu kerana diberikan peluang ini dan sokongan berterusan mereka selama ini. Sudah tiba masanya untuk kita berkongsi kerjasama ini sepenuhnya dengan rakan-rakan niaga kami di Malaysia,” ujar Zainal.

Harus tahu bahawa sebilangan pembekal Malaysia telah pun menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global Daihatsu. Malah, Perodua sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk membangunkan lebih banyak pembekal tempatan ke arah tuju yang sama.

“Kami juga memberi tumpuan kepada pembangunan para pengedar kami, termasuk mengukuhkan operasi mereka dan membimbing mereka ke arah amalan terbaik global bagi meningkatkan lagi kepuasan pelanggan,” kata Dato’ Zainal.

Beliau menjelaskan bahawa Perodua berhasrat untuk memastikan kesinambungan perniagaan para pengedar dengan berkongsi amalan terbaik serta teknologi terkini.

“Para pengedar kami adalah rakan-rakan niaga kami. Sama seperti hubungan kami dengan Daihatsu. Kami komited terhadap kejayaan mereka selagi mereka komited terhadap matlamat-matlamat kami.

“Dari segi produk, model-model kami pada masa hadapan akan lebih selari dengan trend semasa. Pada masa yang sama mengekalkan kelebihan kami – ruang, praktikaliti, kualiti, kebolehpercayaan, kecekapan bahan api dan nilai terbaik,” kata Zainal.

Google ads
Back to top button