Buletin

APABILA TEKSI DIUBAH SUAI, MEWAH HABIS!

Biasa tak nampak teksi diubah suai untuk tampil lebih sporti? Ada pemilik teksi yang mahukan penampilan dan pemanduan tersendiri dan melakukan ubah suai seperti penukaran roda dan merendahkan badan kereta.

Ini pula lain ceritanya. Sebuah syarikat pengubahsuaian dari London iaitu Sutton Bespoke menaik taraf teksi LEVC TX dengan ciri-ciri mewah dan dalam jumlah terhad.

Sutton Bespoke berada di bawah pengedar kereta mewah Clive Sutton atau kepada yang masih ingat, pikap Sutton CS 3500 (Ford F-150 Raptor) yang dijual di negara kita.

LEVC TX bukan seperti teksi yang biasa digunakan di jalan raya. Teksi hitam ini canggih dengan teknologi range extender di mana enjin bertindak sebagai penjana (generator) dan membekalkan kuasa sistem elektrik kenderaan.

Sutton Bespoke mengangkat teksi awam ini ke aras baharu. Bahagian dalam teksi ini menggunakan skema baharu dengan kerusi belakang diubah untuk lebih keselesaan dan balutan kulit Sandalwood dan Alcantara.

Penyandar lengan dibuat baharu dan tiada pada teksi LEVC TX standard. Menggantikan alas lantai getah ialah karpet tebal dan corak kayu hasil kerja tangan pada kemasan pintu.

Bumbung panorama yang luas menawarkan suasana kabin dengan pencahayaan dan turut dilengkapi sistem lampu ambien dan boleh dilaras mengikut mood pilihan.

Penumpang belakang disediakan panel kawalan suhu manakala sistem audio dinaik taraf dengan sambungan Bluetooth dan tuner TV dan Apple TV menariknya permainan konsol Sony PS4.

Memisahkan pemandu dan penumpang ialah skrin boleh laras untuk lebih privasi dan langkah pencegahan Covid-19.

Kerusi elektrik boleh laras yang dibalut kulit dan gugusan meter digital memastikan pemandu kekal selesa walaupun perjalanan jauh.

Bahagian luar mempunyai dua tona warna iaitu hitam ala black taxi dan Ferrari ‘Grigio Silverstone’ pada bahagian atas.

Logo kuning di atas bumbung tidak ditanggal untuk mengekalkan ciri ikonik tetapi tulisan TAXI diganti dengan VIP.

Harga ‘teksi’ mewah ini dijangka dalam lingkungan £100,000 (RM536,978) tanpa VAT untuk pelanggan perniagaan atau £120,000 (RM644,374) termasuk VAT buat pelanggan persendirian.

Selain VIP Class LEVC, Sutton Bespoke turut menawarkan van mewah Mercedes-Benz Sprinter dan V-Class. 

BACA: MPV MERCEDES-BENZ JADIAN SUTTON BESPOKE, LUAR KONDO DALAM BANGLO

BACA: MS-RT R185 LIMITED EDITION, VAN BARANG SPORTI

BACA: TOYOTA COPEN GR SPORT, MISI MENGIDAM BERMULA!!!

Google ads
Back to top button