Artikel Pilihan

KISAH ‘PERMUSUHAN’ DALAM SUKAN BERMOTOR YANG DIFILEMKAN

Dunia sukan permotoran sememangnya sengit. Ia memang tidak dapat mengelak dari berlakunya persaingan antara pasukan atau hingga wujudnya perang peribadi sesama pelumba dek kerana mentaliti untuk menang adalah segala-galanya.

Ia seakan menjadi lubuk untuk terciptanya kisah-kisah atau drama-drama yang tak kurang menarik.

Dari sinilah kisah ‘permusuhan’ ini diambil oleh pihak penerbit filem untuk dijadikan bahan ke layar perak. Tidak perlu memerah otak mencipta plot baru, ambil sahaja dari kisah benar dunia perlumbaan dan jadikan jalan cerita sesebuah filem.

Di sini kami paparkan antara kisah dari litar yang dijadikan filem.

1. LE MANS

Filem ‘Le Mans’ lakonan ‘King of Cool’ Steve McQueen. Ia lebih kepada saingan sengit antara pasukan Ferrari dan Porsche yang dianggap kemuncak persaingan dalam kejohanan Le Mans pada tahun 1970.

Selain berlatarbelakangkan kisah perlumbaan Le Mans, ia juga mengisahkan Michael Delaney yang merupakan salah seorang pelumba Le Mans masih dihantui peristiwa kemalangan rakan pelumba Piero Belgetti pada tahun sebelumnya yang menyebabkan konflik antara beliau dengan balu pelumba tersebut yang menuduh Delaney penyebab kepada kemalangan tersebut.

Ia juga menampilkan bahawa peranan media era itu yang mengapi-apikan permusuhan Delaney dari pasukan Gulf Porsche dengan pelumba pasukan Ferrari Erich Stahler.

Akhir cerita Porsche menang di kedudukan 1-2 dalam perlumbaan yang dikatakan paling sengit pada era itu.

2. RUSH

Filem berjudul keluaran 2013 ini mengisahkan permusuhan yang berlaku dalam perlumbaan F1 pada tahun 1976 antara Niki Lauda yang ketika itu memandu untuk Ferrari manakala James Hunt dari pasukan Mclaren.

Ia menampilan karektor 2 pelumba yang berbeza yang mana Lauda yang dilakonkan oleh Daniel Bruhl yang lebih teknikal, serius dan mementingkan keselamatan perlumbaan. Manakala Hunt lakonan Chris Hemsworth (Thor) merupakan pemandu muda berbakat lebih gila-gila, kaki perempuan dan suka mengambil jalan mudah.

Semasa GP Jerman, Lauda mencadangkan perlumbaan dibatalkan kerana hujan lebat yang membahayakan pelumba. Tapi Hunt menuduh Lauda sengaja tak mahu berlumba kerana mendakwa Lauda mempunyai kelebihan jika jumlah perlumbaan tahun itu dikurangkan kerana mempunyai kelebihan mata kejuaraan.

Undian telah dijalankan dengan kesemua pelumba meneruskan perlumbaan yang mana membawa kepada kes kemalangan Lauda yang menyebabkan beliau melecur tahap-3. Berehat selama 6-minggu telah memberi kelebihan kepada Hunt untuk merapatkan mata kejuaraan di belakang Lauda. Meskipun belum pulih, Lauda kembali berlumba di GP Itali.

Pada perlumbaan terakhir tahun itu iaitu GP Jepun, Lauda berhenti selepas pusingan kedua perlumbaan juga kerana hujan dan ini telah memberi Hunt gelaran juara keseluruhan pada musim itu.

3. FORD VS FERRARI

FiLem yang judul rasminya masih belum didedahkan ini masih dalam proses penggambaran. Filem ini dijangka akan ditayangkan pada 28 Jun 2019 oleh pihak Fox.

Ia akan menampilkan Christian Bale yang sebelum ini popular dengan watak Batman memegang watak pemandu uji Ken Miles. Manakala Matt Damon dari siri filem Jason Bourne pula sebagai Carroll Shelby.

Kisah bermula di era 60-an apabila kegagalan syarikat Ford untuk memiliki Ferrari. Ia membawa kepada keinginan mereka untuk meruntuhkan ego pasukan Ferrari terutamanya Enzo Ferrari yang begitu gah memenangi banyak siri perlumbaan.

Pihak Ford melantik Caroll Shelby yang merupakan individu penting di sebalik AC Cobra dan Shelby Mustang membina model Ford GT40 dengan satu tujuan iaitu mengalahkan Ferrari di Le Mans The World Sportscar Championship pada tahun 1966.

Meskipun terdesak dan menghadapi pelbagai cabaran dalam membina jentera GT40 tersebut. Ford akhirnya berjaya menewaskan Ferrari.

Kalau anda pengikut setia sukan bermotor tidak kiralah dari disiplin mana sekali pun pasti akan mengikuti kisah-kisah ‘permusuhan’ yang secara tidak langsung mewarnai dunia perlumbaan itu sendiri. Drama mereka ini sebenarnya menjadi rencah penyedap cerita setiap kali musim perlumbaan.

Agak-agak apa lagi kisah dalam sukan bermotor yang layak difilemkan?

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button