Artikel Pilihan

10 KERETA IKONIK DARI FILEM UNTUK DILELONG – ADA DUIT BAIK BELI

Sebagai kaki kereta sudah tentu korang berminat dengan kereta-kereta yang pernah popular di kaca televisyen dan di layar perak. Peluang untuk memilikinya memang jarang ada kecuali bila ada muzium ataupun pengumpul yang terdesak perlukan wang. Itulah yang berlaku kepada Rodz and Bodz Movie Car Museum, Colorado yang terpaksa berpindah bila pemilik tanah asal mahukan tanah mereka kembali.

Sebahagian koleksi terpaksa dijual untuk menampung kos berpindah ke tempat baharu. Khabar buruk untuk pemilik muzium tapi khabar baik untuk peminat-peminat kereta ikonik.

Antara model yang bakal dilepaskan ialah:

  1. AMC Pacer X 1976

Kereta ni memang tak lawa tapi ia adalah model sebenar yang digunakan dalam filem komedi popular Wayne’s World 1992. Pacer X model 1976 ini dibekalkan dengan enjin 3.8 liter sebaris enam yang menghasilkan hanya sekitar 100 hp kuasa ke tayar belakang.

Tapi serius cakap kereta ni memang popular tapi buruk. Abang tak paksa beli pun. Kalau beli nak jual balik susah risiko sendiri.

  • Chevrolet Sedan 1933

Kereta ni spesial sikit bukan sebab ia pernah muncul dalam filem Public Enemy 2009 mengenai penjenayah terkenal AS, John Dillinger, tapi kereta ini sebenarnya memang pernah dicuri oleh John Dillinger sekitar tahun 30an dahulu. Dillinger pernah menggunakan kereta ini dalam siri rompakan beliau ketika itu.

Kereta ini ditawarkan sendiri oleh pemilik sebenar untuk kegunaan filem Public Enemy. Lubang-lubang peluru tu sebenarnya dihasilkan khas untuk filem tapi kereta ini memang mempunyai sejarahnya tersendiri. Okey, yang ni boleh beli.

  • Corbin Sparrow EV 2002

Ini sesuai sangat untuk walaEV di luar sana. Teknologi yang nampak macam canggi sebenarnya dah lama wujud. Cuma ia mempunyai kuasa yang terhad dari 17 buah bateri kecil dan hanya boleh bergerak sekitar 90 kilometer sahaja. Kereta muncul dalam filem Austin Power: Goldmember 2002.

Ini memang model sebenar dari filem dan hanya bergerak sejauh 138 batu sejak penggambaran filem tersebut. Kabel pengecas pun disediakan sekali. Boleh lah kalau nak bawak pergi pasar beli kangkung.

  • Dodge Charger R/T 1970

Ini tak perlu diperkenalkan lagi kepada anda semua. Charger warna hitam ini memang digunakan oleh Dominic Toretto dalam siri keempat dan kelima Fast and Furious. Toretto sebenar ya, bukan yang made in Siam tu.

Ia dilengkapi dengan enjin 7.5 liter V8. Sebab kereta ni suka buat wheelie, memang jimat la siapa yang beli sebab tayar depan kurang haus. Bajet habis untuk tayar belakang je.

  • Ford Explorer 1994

Ini untuk noob yang sukakan filem bertema dinasor Jurassic Park. Ia merupakan sebuah SUV yang cool kalau dipandu ke mana-mana. Memang sebijik sama seperti yang digunakan dalam filem cuma yang ni tak ada kesan-kesan calar dari kuku dan gigi T-Rex!

  • Ford Torino 1974

Ini memang lejen zaman abang. Kereta sport merah putih ikonik milik detektif polis David Starsky dari siri TV Starsky and Hutch. Ini merupakan satu dari sembilan unit yang digunakan dalam filem Starsky and Hutch 2004 lakonan Ben Stiller dan Owen Wilson.

Kereta ini menggunakan enjin 5.9 liter V8 yang mampu menghantar 435 hp kuasa ke tayar belakang menerusi kotak gear automatik. Ya, orang putih dari dulu dah sukakan automatik tuan-tuan.

  • GMC Vandura 1984

Inilah van paling ikonik di dunia. Siapa yang tak minat dengan The A-Team mesti main masak-masak atau pun anak patung masa kecil. Van ini dihasilkan untuk promosi filem The A-Team 2010.

Abang rasa nak beli kalau ada. Senang nak buat lalamove ataupun ambik upah hantar RXZ nombor plet besar kuman ke perhimpunan sekolah RXZ 10.0 nanti.

  • Mitsubishi Eclipse 1995               

Inilah kereta yang digunakan oleh Brian O’Connor pada siri terawal Fast and Furious. Ini merupakan sebuah replika tapi dihasilkan menyerupai model sebenar dalam filem. Tak kisah la tu, janji nampak macam kereta O’Connor walaupun wajah kita macam kereta perisai Condor.

  • Pontiac Firebird Trans Am 1982

Siapa tak kenal dengan KITT ataupun Knight Industries Two Thousand. Inilah replika kereta boleh bercakap yang digunakan oleh Michael Knight dalam siri TV Knight Rider. Luarannya memang sama seperti KITT sebenar cuma dalaman adalah sedikit berbeza.

Tak kisahlah, janji boleh berangan jadi Michael Knight.

  1. Rubble Racer 1994

Kereta Flinstones 1994 ni memang rare habis dan cuma ada sebuah ni je. Inilah kereta batu yang kena guna kuasa kaki untuk bergerak. Nampak macam dihasilkan daripada batu tapi sebenarnya ua gabungan busa semburan dan paip PVC yang diikat dengan dawai.

Mereka yang kurang aktif tak disarankan untuk beli kereta ni. Kelajuan maksima bergantung kepada kekuatan kak anda. Tak ada kuasa-kuasa kuda kat sini.

Google ads
Back to top button