Buletin

LAMBORGHINI HURACÁN DIGUNA UNTUK PANDU ARAH KAPAL TERBANG

Kenderaan Lamborghini sebenarnya mempunyai pelbagai guna selain daripada dicipta untuk kelajuan dan kepuasan pemandu. Jika kenderaan Lamborghini biasa digunakan untuk Polis Dubai dan Itali, ini ada satu lagi tugas buat jenama eksotik itu.

Automobili Lamborghini pada 10 Disember 2019 mengumumkan kesinambungan kerjasama dengan Lapangan Terbang Guglielmo Marconi di Bolognia untuk kali keenam.

Kerjasama itu melibatkan penggunaan Lamborghini Huracán RWD untuk memandu arah kapal terbang ke kawasan parkir atau menuju (taxi) ke landasan terbang.

Lamborghini tidak memberikan maklumat terperinci mengenai model Follow-Me itu kecuali enjin 5.2L V10 aspirasi normal berkuasa 580 hp.

Apa yang jelas ialah warna oren dan grafik badan khas rekaan Lamborghini Centro Stile yang mengikut tema kenderaan di kawasan lapangan terbang.

Bendera Itali sebagai kebanggaan dilekatkan pada pintu, bumbung, liang kemasukan udara depan dan belakang.

Turut dipasang ialah lampu bumbung berwarna oren dan radio yang sentiasa bersambung dengan menara kawalan dan juga grafik Follow me. 

Pemandu Huracán ini boleh dianggap sebagai bertuah kerana tugasan dan gaji dibayar untuk memandu kereta eksotik.

Di atas kertas Lamborghini Huracán RWD berkuasa 580 hp pada 8,000 rpm dengan tork 540 Nm pada 6,500 rpm.

Kelajuan maksimum ialah 320 km/j dengan daya pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.4 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam masa 10.1 saat.

Keupayaan membrek 100 hingga 0 km/j pula memerlukan jarak 32.2 meter.

Walaupun hebat dan jarak landasan terbang terbentang luas, sebarang kenderaan tidak boleh dipandu sewenang-wenangnya.

Apa pun, melihat Huracán sebagai kenderaan follow me sudah cukup mengujakan dan tanda selamat datang ke Bologna!

Google ads
Back to top button