Buletin

PEROMPAK ANGEL NIETO DI SEPANG MOTOGP DIBERKAS. KOMPONEN BERNILAI RM75K DITEMUI SEMULA

Ini sudah pasti satu kejayaan yang menggembirakan semua pihak. Insiden yang memalukan berlaku bulan lalu ketika berlangsungnya acara perlumbaan MotoGP di Litar Sepang, pit Angel Nieto dirompak dan mereka kehilangan sejumlah barangan dan hampir sahaja tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Polis DIraja Malaysia berjaya memberkas enam lelaki warga tempatan dan menerusi beberapa serbuan pada 3 November hingga 12 Disember lalu, komponen bernilai RM75,000 berjaya ditemui semula.

BACA: PIT ANGLE NIETO DIROMPAK DI SEPANG MOTOGP! 

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, berkata rampasan dibuat menerusi beberapa siri serbuan di sekitar daerah Sepang dan Bangi.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah (kiri) menunjukkan barangan yang dicuri di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Ibu Pejabat Polis KLIA. – KREDIT NSTP/Luqman Hakim Zubir

“Kita menahan enam lelaki warga tempatan berumur lingkungan 23 tahun dan merampas barangan serta aksesori motosikal.

“Antara yang dirampas ialah empat beg pelbagai jenama, 26 unit brek pelbagai jenis, tujuh unit spanar, tiga batang demper, dua pemulas pendikit (handle grip), dua set pemanas tayar, dua helai jaket hitam berjenama, 14 unit skru dan enam botol minyak brek.

“Siasatan awal mendapati seorang suspek mempunyai bengkel motosikal dan difahamkan menjual barang curi terbabit kepada peminat motosikal untuk diubah suai,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, ada komponen aksesori itu dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Sebagai contoh ‘brake caliper’ ini dijual dengan harga RM600 bagi setiap unit walaupun harga sebenarnya mencecah RM1,000.

“Barang ini mahal kerana ia buatan luar negara. Difahamkan ada antara barang curi ini sudah digunakan pada motosikal suspek,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada enam suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau seperti jenayah curi motosikal.

“Antara suspek yang ditahan ialah pekerja sambilan sempena MotoGP dan mempunyai pas masuk ke kawasan Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya.

Kecurian pada awal pagi 1 November lalu itu membabitkan lima hingga enam pasukan yang kehilangan komponen jentera Moto3 dan Moto2, dengan pasukan Angel Nieto paling terkesan.

Antara komponen yang dicuri di khemah pasukan berkenaan termasuk set lengkap penyerap hentak, angkup, cakera brek, komputer riba, alatan bengkel dan pemanas tayar.

Syabas kami ucapkan pada PDRM!

KREDIT: BERITA HARIAN

Google ads
Back to top button