
LAMBORGHINI PECAH REKOD PADA 2022, MESTILAH URUS PALING LAKU!
Automobili Lamborghini menutup tirai 2022 dengan mencatatkan jumlah penghantaran sebanyak 9,233 unit kepada pelanggan di serata dunia.
Jualan itu satu rekod baharu dan menyaksikan peningkatan sebanyak sepuluh peratus berbanding tahun sebelum.
Model paling laris? Semestinya kenderaan utiliti sukan (SUV) Urus dengan jumlah 5,367 unit atau peningkatan tujuh peratus berbanding 2021.
Di tempat kedua ialah Huracán dengan penghantaran sebanyak 3,113 unit atau lonjakan 21 peratus berbanding 2021.
Aventador pula di tempat ketiga dengan 753 unit dan pengeluarannya telah ditamatkan pada September 2022.
Dari segi pasaran, Asia menyaksikan pertumbuhan terbesar dengan peningkatan 14 peratus, Amerika sebanyak 10 peratus dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) meningkat sebanyak tujuh peratus.
Secara spesifik, pengguna di Amerika Syarikat paling banyak membeli dengan jumlah penghantaran 2,721 unit atau pertambahan 10 peratus.
Pelanggan di Tanah Besar China, Hong Kong dan Macau di tempat kedua dengan peningkatan sebanyak sembilan peratus kepada 1,018 unit.
Di tempat ketiga ialah Jerman dengan 808 unit atau pertambahan 14 peratus dan United Kingdom di tempat keempat dengan 650 unit atau peningkatan 15 peratus.
Di Jepun, sebanyak 546 unit dihantar kepada pelanggan dengan peningkatan 22 peratus.
Pengedar Lamborghini juga meningkat daripada 173 kepada 180 dalam tempoh setahun di 53 buah negara.
2022 tahun yang sibuk buat Lamborghini dengan pelancaran Huracán Tecnica, Urus Performante, Urus S dan Huracán Sterrato.
Tahun ini bakal menyaksikan satu sejarah apabila model hibird massa bakal dilancarkan dan juga transisi kepada kereta elektrik penuh.
Iya, Lamborghini dengan nadi hibrid dan selepas itu digerakkan kuasa elektrik. Bukan suatu yang pelik kerana beberapa pengeluar kereta eksotik sudah pun mempunyai jentera elektrik.
BACA: LAMBORGHINI DIABLO, KERETA SUPER SPORT PERTAMA LAMBO DIPACU 4 RODA
BACA: LAMBORGHINI SIÁN FKP 37 BUAT GUNA LEGO IKUT SAIZ SEBENAR!
BACA: DUCATI STREETFIGHTER V4 LAMBORGHINI, TAK ADA LAMBO PUN BOLEH BELI!












