Buletin

DUCATI STREETFIGHTER V4 LAMBORGHINI, TAK ADA LAMBO PUN BOLEH BELI!

Apakah persamaan di antara Ducati dan Lamborghini? Memang betul kedua-duanya berasal dari Itali dan satu lagi persamaan ialah Ducati dan Lamborghini berada di dalam Kumpulan Volkswagen.

Lebih tepat lagi, Ducati adalah subsidiari kepada Lamborghini dan pembuat kereta eksotik itu dimiliki Audi yang berada di bawah Kumpulan Volkswagen.

Melalui hubungan tersebut, terhasil model istimewa seperti Ducati Diavel 1260 Lamborghini yang dibuat sempena Lamborghini Siàn.

Selepas projek Diavel kedua-dua syarikat kembali dan terbaru menawarkan Ducati Streetfighter V4 Lamborghini.

Membuatkan Streetfighter ini istimewa ialah pengaruh langsung Lamborghini Huracán STO.

Jumlah penawaran pun mengambil pengaruh model Huracán paling berprestasi itu dengan keluaran terhad 630 + 63 unit. Jumlah 63 unit tersebut dikhaskan kepada pemilik Lamborghini sahaja.

Angka 63 untuk Lamborghini ialah tahun ianya diasaskan dan sebelum ini turut tampil dengan bot persiaran Tecnomar for Lamborghini 63.

Motosikal ini dibuat dari Panigale V4 S model 2023 dengan enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale berkuasa 208 hp. Enjin itu menggunakan klac kering seperti motosikal Ducati MotoGP dan superbike Ducati.

Dipadan dengan enjin ialah peredam bunyi titanium Akrapovič dengan penutup hujung buatan gentian karbon.

Bertugas di jalanan dan litar ialah penyerap hentak separa aktif Öhlins Smart EC 2.0 manakala tugas pembrekan diberi kepada angkup Brembo Stylema dan cakera 330 mm.

Membantu dari segi aerodinamik ialah sayap biplane karbon yang dipasang pada pelindung sisi untuk menstabilkan motosikal pada kelajuan tinggi.

Dari segi gaya, Centro Stile Ducati telah merekabentuk semula beberapa komponen utama dengan mengambil inspirasi dari Huracán STO.

Sebagai contoh mudguard depan, penutup tangki, penutup bawah (belly pan) dan ekor, ekstraktor gril, laluan dan liang kemasukan udara.

Secara spesifik, rekaan mudguard dibuat seperti liang udara pada cofango atau hud yang disatukan dengan fender STO.

Ekstraktor pada penutup bawah dibuat seperti liang penyejukan brek belakang STO. Lagi pengaruh model itu pada sisi penutup tangki ala liang fender depan dan ekstraktor ekor dibuat ala bonet enjin.

Perincian pada motosikal ini boleh dilihat pada kesemua komponen karbon dibuat menggunakan tekstur sama seperti STO. Malah tempat duduk juga diinspirasi dari kemasan kerusi STO.

Dari kesemua komponen tersebut, paling menyerlah ialah roda yang dibuat khas untuk motosikal ini mengikut rekaan dan juga salah satu identiti utama Huracán STO.

Roda belakang diikat dengan nat pengunci tunggal titanium juga dengan gaya Lamborghini.

Motosikal ini meriah dengan komponen gentian karbon seperti pelindung buku lali, pad pelana, pelindung meter dan suis penghidup dan juga pelindung rantai.

Bahan sama turut digunakan sebagai pelindung haba seperti penutup kepala belakang dan manifold, sokongan lampu utama dan pelbagai lagi.

Turut dilengkapi ialah perehat kaki boleh laras, tuil brek dan klac yang diperbuat dari aluminum dengan kerjasama Rizoma.

Nama model dan nombor siri dipaparkan pada plat besi yang dipasang pada penutup tengah tangki minyak. Animasi logo Ducati dan Lamborghini dan bayangan model dipaparkan pada skrin TFT.

Pembeli yang mahukan kit tambahan dan untuk ke litar boleh mendapatkan aksesori rasmi.

Di antaranya penutup klac kering gentian karbon, penutup penggantian nombor pendaftaran dan cermin sisi, penutup tangki miyak perlumbaan dan pelindung motosikal dalam warna sama seperti motosikal.

Untuk warna, 630 unit Ducati Streetfighter Lamborghini dibuat dalam Verde Citrea/Arancio Dac yang merupakan satu daripada skema warna Huracán STO.

Angkup brek Brembo turut dibuat dalam warna Arancio Dac manakala fork berbeza dengan warna hitam.

63 buah lagi lebih eksklusif atau dipanggil Speciale Clienti dan untuk pemilik Lamborghini sahaja. Mereka bebas untuk memilih warna badan dan roda sama seperti kereta Lamborghini yang dimiliki.

Ada lagi sebenarnya, pemilik Ducati Streetfighter V4 Lamborghini boleh memilih topi keledar edisi terhad, jaket dan sut kulit dengan skema warna seperti motosikal.

Penghantaran Ducati Streetfighter V4 Lamborghini dijadual bermula pada April 2023.

BACA: DUCATI PANIGALE V4 2023 DAPAT PAKEJ ELEKTRONIK BAHARU!

BACA: DUCATI STREETFIGHTER V2 2022 ADA WARNA HIJAU (STORM GREEN)!

BACA: DUCATI MULTISTRADA V4 PIKES PEAK, MULTISTRADA PALING SPORTI DIKELUARKAN!

Google ads
"
"
Back to top button