
BMW GROUP MALAYSIA CAPAI PRESTASI CEMERLANG TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT, KEKAL KOMITED KUKUHKAN JENAMA
BMW Group Malaysia mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai peneraju Segmen Kenderaan Premium di Malaysia buat kali ketiga berturut-turut apabila mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2022.
Sebanyak 14,400 unit kenderaan BMW, MINI, dan BWM Motorrad telah menemui pelanggan pada tahun lepas, dengan 70 peratus daripadanya telah dipasang di dalam negara. BMW turut mencatatkan lebih 31 peratus penghantaran kenderaan berkuasa elektrik BMW dan MINI, menjadikan jumlah keseluruhan penyerahan adalah lebih 25,000 unit.
Ini bermakna pecahan mengikut jenama merekodkan 11,800 unit, peningkatan 37 peratus, berjaya diserahkan oleh BMW. MINI pula telah menghantar lebih 1,300 unit kenderaan (peningkatan 25 peratus) sementara bagi BMW Motorrad, 1,300 buah motosikal (peningkatan 20 peratus) kini berada di atas jalan raya.

Untuk kenderaan elektrik, BMW dan MINI berjaya menyerahkan sebanyak 4,000 jentera pada tahun lalu termasuk penyerahan lebih 970 BMW iX.
Perkembangan berkaitan, BMW Group Malaysia terus komited dalam usaha meluaskan pengecasan awamnya di seluruh negara sepanjang 2022, di mana lebih 610 buah fasiliti pengecasan boleh di akses oleh pemilik kenderaan elektrik berjenama BMW atau MINI.
Ia termasuk lebih 330 stesen pengecas ChargEV, termasuk 26 fasiliti dikuasakan bersama Yinson GreenTech di lebih 17 cawangan Starbucks selain kerjasama dengan JomCharge telah mewujudkan lebih 65 stesen pengecasan. Usaha sama dengan Gentari menyaksikan sekitar 117 stesen pengecasan EV di seluruh negara diwujudkan.

Selain itu, BMW Group Malaysia juga sedang merangka rancangan strategik untuk memperbanyakkan lagi infrastruktur pengecasan EV pada tahun ini untuk memberikan keyakinan kepada pelaburannya di Malaysia sebagai hab automotif serantau.
Oleh itu, BMW sedang giat untuk mempersiapkan tenaga kerja tempatan dalam segmen kenderaan elektrik menerusi Persijilan Pakar Voltan Tinggi BMW sebagai komitmen jangka panjang di negara ini.
BMW kini memiliki kilang pemasangan berkeupayaan tinggi di Kulim, Kedah di mana mereka telah memasang serta menyerahkan lebih 11,200 buah kenderaan BMW dan MINI tahun lepas. Daripada angka tersebut, lebih 2,500 buah adalah kenderaan elektrik.
Tahun 2022 menyaksikan 17 model varian diperkenalkan daripada portfolio BMW Group, tiga daripadanya merupakan jentera elektrik tulen BMW i baharu. Tahun ini bakal menjadi saksi kepada perluasan barisan produk BMW Group di Malaysia, hasil daripada inisiatif kelestarian baharu mereka menerusi kerjasama dengan para penggiat industri utama.
- BACA: BMW MALAYSIA & MILLENNIUM WELT LANCAR 2 FASILITI PENGECASAN DI GAMUDA GARDENS RAWANG
- BACA: BMW MALAYSIA DEDAH 5 MODEL BAHARU M. M3 COMPETITION, M4 COUPE COMPETITION, M5, M5 COMPETITION DAN I4 M50
- BACA: SKUTER ELEKTRIK BMW CE 04. 4 MOD TUNGGANGAN, 41HP, 130KM SEKALI CAJ, TOP SPEED 120KM/J, ANGGARAN RM60K
- BACA: BMW 3-SERIES 2023 FACELIFT KINI DI MALAYSIA. BMW 320i, 330i DAN 330e M SPORT. BERMULA RM284K