Buletin

LAMBORGHINI DIABLO, KERETA SUPER SPORT PERTAMA LAMBO DIPACU 4 RODA

Kenderaan buatan Lamborghini terkenal dengan reka bentuk yang mengancam dan mendahului zaman. Reka bentuk Lamborghini yang anda lihat di atas jalan raya sekarang sebenarnya adalah evolusi puluhan tahun.

Satu model yang boleh dijadikan rujukan ialah Lamborghini Diablo yang juga mencatat sejarah sebagai kereta super sport pertama syarikat yang ditawarkan dalam pacuan empat roda.

Diablo pertama kali diperkenalkan pada 21 Januari 1990 pada acara Lamborghini Day di Monte Carlo.

Menguasakan Diablo ialah enjin V12 5.7 liter dan kemudian dibesarkan kepada 6.0 liter dengan kuasa hampir 600 hp. Versi litar GT1 Stradale pula berkuasa 655 hp dan hanya dua buah dikeluarkan.

Enjin V12 adalah identiti Lamborghini yang kini menghampiri usia enam dekad dan tahun ini syarikat meraikan enjin ikonik tersebut yang bakal digunakan buat kali terakhir pada Aventador Ultimae.

Bermula tahun 2023, pewaris kepada Aventador akan menggunakan enjin V12 yang dikacuk sistem hibrid plug-in.

Enjin V12 Diablo berasal dari enjin 3.5 liter 1963 yang melalui beberapa perubahan sehingga diperbesarkan kepada 5.7 liter.

Enjin dengan penukar bermangkin (catalytic converter) mempunyai kuasa 492 hp pada 6,800 rpm dan tork 580 Nm pada 5,200 rpm.

Enjin Diablo menggunakan suntikan bahan api elektronik Lamborghini-Weber Marelli LIE.

Bermula dengan 5.7 liter, Lamborghini pada 1999 menggunakan enjin 6.0 liter pada Diablo GT dan Diablo 6.0 SE. Bersama kalibrasi baharu suntikan bahan api, kuasa enjin mencecah 525 hp dan tork 605 Nm.

Semasa dibangunkan Diablo dipanggil Project 132 secara dalaman dan dibuat bagi menggantikan Countach, sebuah lagi model ikonik Lamborghini dan dengan warisan tersebut Diablo perlu jadi hebat.

Di dalam sesi ujian awal, karakter model ini sudah menunjukkan taring dan ia adalah hasil kerja-kerja pembangunan yang turut melibatkan bekas juara rali dunia Sandro Munari.

Selepas tiga tahun, model kereta super sport pacuan empat roda pertama Lamborghini iaitu Diablo VT diperkenalkan. Pada tahun ini juga Diablo dilengkapi stereng berkuasa.

VT bermaksud Viscous Traction dan dalam keadaan biasa Diablo dipacu roda belakang dengan pengagihan kuasa sehingga 20 peratus ke roda depan jika roda belakang mempunyai gelinciran.

Agihan kuasa dihantar melalui viscous coupling dan aci pendorong (propeller shaft) yang dihubungkan dengan pembeza (differential) depan.

Melalui Diablo VT, Lamborghini turut memperkenalkan suspensi kawalan elektronik dengan lima praset operasi.

Selain pelbagai inovasi, Diablo turut memulakan tradisi baharu dengan memperkenalkan model buka bumbung Diablo Roadster pada tahun 1995.

Bumbung targa itu diperbuat daripada gentian karbon dan disimpan di bahagian atas penutup enjin.

Tidak hanya jalanan, Lamborghini kembali beraksi di litar lumba dengan Diablo melalui perlumbaan Super Sport Trophy yang kemudian dikenali sebagai siri perlumbaan Super Trofeo.

Perlumbaan itu dianjurkan buat kali pertama sebagai perlumbaan sampingan Le Mans 24 Jam pada 1996. 34 buah Diablo SV-R berkuasa 550 hp dikeluarkan khusus untuk perlumbaan tersebut.

Detik atau sejarah penting Lamborghini adalah pada tahun 1998 setelah dibeli Audi.

Lamborghini mempunyai sumber yang cukup untuk mengembangkan rancangan dan juga akses kepada komponen dan teknologi.

Audi juga melihat Diablo sebagai produk yang baik dan hasilnya siri kedua Diablo diperkenalkan ke pasaran.

Siri kedua Diablo lebih pantas dan berkuasa dan pada masa inilah ianya menggunakan enjin 5.7 liter V12 yang dibesarkan kepada 6.0 liter.

Bahagian dalaman lebih mewah selain lebih tahan untuk dipandu secara harian hasil daripada kawalan kualiti yang ketat semasa peringkat reka bentuk, pengujian dan pengeluaran.

Lamborghini Diablo dikeluarkan selama 11 tahun atau sehingga 2001 dan berapa jumlah yang dihasilkan?

2,903 unit kesemuanya dan satu jumlah yang banyak pada era tersebut.

BACA: DUCATI STREETFIGHTER V4 LAMBORGHINI, TAK ADA LAMBO PUN BOLEH BELI!

BACA: JUALAN LAMBORGHINI NAIK LAGI, 61% BELI URUS DARI JAN – JUN 2022

BACA: LAMBORGHINI SIÁN FKP 37 BUAT GUNA LEGO IKUT SAIZ SEBENAR!

Google ads
Back to top button