Buletin

LELAKI ‘KENCING’ DOKTOR BELI JAGUAR XF BERNILAI RM90,000 KENA TAHAN

Lelaki disyaki memperdayakan seorang doktor dalam urusan jual beli kereta Jaguar XF bernilai RM90,000 ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berusia 55 tahun berada di rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya bertemu dengan suspek berusia 42 tahun untuk urusan jual beli kereta itu pada 5 petang Ahad lalu.

Menurutnya, mangsa dikatakan menandatangani beberapa surat perjanjian sebelum menyerahkan kereta miliknya kepada suspek.

“Pada 5.30 petang hari sama, suspek menghantar mesej melalui WhatsApp kepada mangsa dan memaklumkan pembayaran sebanyak RM90,000.00 sudah dibuat sebanyak dua kali transaksi ke dalam akaun bank mangsa.

“Selepas disemak, mangsa mendapati tiada kemasukan wang ke akaun banknya seperti yang dimaklumkan lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Fakhrudin berkata, berikutan itu mangsa membuat laporan sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan suspek dan merampas kereta terbabit.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 58 rekod termasuk menipu, mencuri, sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

“Suspek direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -HM

Google ads
Back to top button