
ITC AMERIKA SIASAT VW. DIDAKWA LANGGAR PATEN TEKNOLOGI TERRAIN RESPONSE MILIK JAGUAR LAND ROVER
Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (ITC) dilapor sudah membuka kertas siasatan untuk melihat sama ada Volkswagen AG melanggar paten milik Jaguar Land Rover.
Jaguar Land Rover (JLR) yang merupakan anak syarikat kepada Tata Motors mendakwa Volkswagen AG menggunakan teknologi untuk sistem pemanduan off-road pada kenderaan keluarannya.
JLR menyatakan Volkswagen telah menggunakan inovasi yang sudah dipatenkannya tanpa sebarang bayaran atau kelulusan. Teknologi Terrain Response berfungsi memaksimumkan prestasi di atas permukaan seperti salji, rumput, lumpur, pasir dan berbatu.
Pada November lalu, JLR memfailkan aduan dan meminta ITC untuk menghalang import beberapa model Porsche, Lamborghini dan Audi yang dilengkapi sistem kawalan kenderaan yang merupakan paten milik JLR.
Model-model yang terlibat ialah Lamborghini Urus, Porsche Cayenne, Audi Q8, Q7, Q5, A6 Allroad, e-tron dan VW Tiguan. ITC bagaimanapun memberitahu pihaknya masih belum membuat keputusan kerana tiada merit berkaitan masalah itu.
“Sudah tentu kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Tetapi kami tidak boleh memberi sebarang komen dan perincian tentang proseding ini.
“Kami yakin bahawa dakwaan ini tiada merit dan akan mempertahankan kepentingan Volkswagen AG,” tegas Volkswagen dalam satu kenyataan. – Reuters
- BACA: LAND ROVER MAHU HALANG IMPORT SUV MEWAH KUMPULAN VW KE AS. DAKWA GUNA TEKNOLOGI TERRAIN RESPONSE TANPA LESEN
- BACA: KEPUTUSAN MAHKAMAH TIDAK MEMIHAK KEPADA JAGUAR LAND ROVER – APA KES NI?
- BACA: JAGUAR LAND ROVER MENANG KES – KLON EVOQUE DIARAH HENTIKAN PRODUKSI SERTA-MERTA
- BACA: ENJIN JAGUAR LAND ROVER BERNILAI RM16.6 JUTA DICURI DALAM MASA ENAM MINIT DI UK