Artikel Pilihan

KEPUTUSAN MAHKAMAH TIDAK MEMIHAK KEPADA JAGUAR LAND ROVER – APA KES NI?

Mana-mana pengeluar kereta sama ada terkenal ataupun tidak sudah tentu tidak suka jika rekaan mereka ditiru pengeluar lain. Tak kiralah tiru sikit ke, banyak ke. Itulah yang terjadi kepada Jaguar Land Rover (JLR) bila mereka mendapati model ikonik mereka, Land Rover Defender telah ditiru oleh satu model 4×4 baharu keluaran Ineos Group dan dinamakan Grenadier.

Mereka telah membawa kes ini ke mahkamah tapi malangnya keputusan tidak memihak kepada mereka. Laporan The Telegraoh UK menyatakan yang keputusan mahkamah memihak kepada Ineos Group yang diasaskan oleh billionair Jim Ratcliffe yang akan meneruskan produksi SUV mereka yang dinamakan Grenadier.

JLR cuba mencabar keputusan UK Intellectual Property Office yang menyatakan rekaan asal Land Rover Defender tidak terlalu menonjol untuk melayakkannya menerima status perlindungan hak intelek. Walaupun hakim mendapati terdapat beberapa persamaan antara Defender dan Grenadier, ia tidak sepenting mana dan mungkin tidak disedari oleh pengguna biasa (kecuali peminat fanatik Defender tentunya).

Walaupun Ratcliffe sendiri mengaku beliau mendapat inspirasi dari Defender tetapi itu tidak bermakna beliau ataupun sesiapa sahaja tidak mempunyai hak untuk membina produk yang mempunyai persamaan dengan Defender.

JLR semestinya kecewa dengan keputusan tersebut dan menegaskan yang rekaan Land Rover Defender sudah sebati dengan mereka dari dulu, kini dan akan datang. Eh, bukan Defender baharu dah nampak lain ke? Peminat Defender jangan marah aaa. Tapi kami akui yang rekaan asal Defender memang unik dan sudah dikenali di seluruh dunia dan menjadi ikon sebenar Land Rover dan mungkin juga segmen 4×4 sejagat.

Apa pun secara positifnya, persaingan untuk menghasilkan kenderaan 4×4 terbaik kini semakin terbuka dan rasanya Land Rover tidak perlu bimbang sangat kerana peminat Defender memang sangat-sangat ramai di seluruh dunia.

BACA: FERRARI AKHIRNYA TEWAS – BUKAN DI LITAR PERLUMBAAN TAPI DI MAHKAMAH

Google ads
Back to top button