Buletin

JAGUAR XK120 5 DEKAD DALAM BANGSAL, BERAPA NAK JUAL NI?

Kisah mengenai kereta yang ditinggalkan di dalam bangsal atau garaj sememangnya mengujakan. Kereta siapa? Kenapa di dalam? Dan kemudian berapa pula harga jualannya. Ada yang dibaikpulih dan ada dijual dengan keadaan begitu sahaja.

Terbaru sebuah Jaguar XK120 tahun 1954 dalam keadaan tinggalan bangsal akan dibuka untuk bidaan oleh The Market dari 20 hingga 27 November ini.

The Market adalah platform dalam talian untuk urusan jual beli kenderaan klasik dan beroperasi di United Kingdom.

Jaguar XK120 ini disimpan di sebuah ladang di Wales selama 50 tahun dalam keadaan restorasi yang masih berterusan oleh pemiliknya.

Selain status klasik, unit ini istimewa kerana ia satu daripada 151 buah dengan pemanduan kanan dari jenis coupe bumbung kekal (fixed head) yang dibuat untuk pasaran UK. 

Dikatakan hanya sekitar 57 unit seumpamanya masih wujud sekarang ini.

Jaguar XK120 bukan kereta biasa, ia adalah model sport yang dikeluarkan dari tahun 1948 hingga 1954. XK120 juga adalah model sport kedua yang dikeluarkan Jaguar selepas model sport SS11 ditamatkan pada 1939.

XK120 dibekalkan enjin 3.4 liter bentangan sebaris enam silinder dan sepanjang pengeluarannya mempunyai pelbagai jenis spesifikasi termasuk perlumbaan.

Kuasa enjin pula mempunyai tahap berbeza iaitu 160 bhp, 180 bhp, 210 bhp dan 220 bhp bergantung kepada spesifikasi enjin.

Satu lagi identiti penting ialah angka 120 pada model ini merujuk kepada kelajuan maksimum 120 bsj (193 km/j) yang merupakan kereta produksi terpantas di dunia semasa ia dilancarkan.

XK120 banyak digunakan untuk perlumbaan, bermula dari Perlumbaan Kereta Produksi Satu Jam pada tahun 1949 di Litar Silverstone sehingga NASCAR di New Jersey pada tahun 1954.

Unit yang dibuka untuk bidaan ini sudah separuh siap dengan casis dan enjin asli. Pemilik sekarang adalah yang kedua dan unit ini mempunyai sijil dari Jaguar Heritage yang mengesahkan tarikh pengeluaran pada 16 Mac 1954.

Ia adalah unit edaran Byatts of Fenton, Stoke-on-Trent dengan warna asal Birch Grey dan bahagian dalaman kulit berwarna kelabu.

Berapakah harga Jaguar XK120 ini? Anggaran The Market ialah dari GBP£25,000 (RM133,555) hingga GBP£35,000 (RM186,977).

Unit terbaik di pasaran hari ini pula dijual pada harga melebihi GBP£100,000 atau bersamaan RM534,220!

BACA: JAGUAR XE SV PROJECT 8, SEDAN 0-100KM/J DALAM 3.7 SAAT (LONG LIVE SEDAN!)

BACA: BEKAS KETUA PEREKA JAGUAR LAND ROVER SERTAI GEELY UK, BERI KHIDMAT SOKONGAN KEPADA PROTON

BACA: NAK BELI KERETA ‘SINGLE SEATER’? RODIN CARS ADA JUAL

Tags
Google ads
Back to top button