LAYAN AKSI SUPERMAN DAN ZIG ZAG. 2 REMAJA KENA TAHAN
Tindakan dua remaja yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi ‘Superman’ dan ‘zig zag’ menerima padah selepas mereka berjaya diberkas di kawasan parkir Jambatan Angkat di Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat.
Kedua-dua suspek yang berusia 16 dan 17 tahun sebelum itu dikesan melakukan aksi berbahaya di KM 54-53 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kampung Jambu Bongkok, Marang).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata ketika melakukan pemantauan berhampiran Kampung Jambu Bongkok, Marang pihaknya terserempak dengan tiga buah motosikal yang bergerak dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu.
Katanya dua daripada penunggang motosikal didapati menunggang motosikal dengan aksi ‘zig zag’ manakala salah seorang daripada mereka dikesan melakukan aksi berbahaya menunggang motosikal ala ‘Superman’.
“Sebaik mengesan tindakan berkenaan skuad 42 JSPT bertindak mengekori tiga penunggang terbabit sebelum dua remaja itu ditahan di kawasan parkir Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
“Selain itu kita turut mengeluarkan 10 keping saman membabitkan pelbagai kesalahan iaitu tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Ismail berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala sebuah motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta sama.
Sementara itu dalam operasi berasingan di daerah Hulu Terengganu, Ismail berkata, pihaknya turut menahan 95 buah motosikal menerusi pemeriksaan 120 individu termasuk 10 wanita berusia antara 16 hingga 40 tahun di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kenyir.
Katanya, siasatan mendapati mereka ini terdiri daripada beberapa beberapa anggota konvoi yang dipercayai datang ke tasik berkenan untuk menghabiskan cuti hujung minggu.
Jelasnya sebanyak 57 keping saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada cermin sisi, tidak mempamerkan pelekat L dan P, ubah suai ekzos, tiada nombor pendaftaran dan nombor plat tidak mengikut peraturan. – AWANI