Buletin

LELAKI PECAH MESIN ATM GUNA ABSORBER

Seorang lelaki dipercayai berdepan tekanan hidup dilaporkan cuba bertindak memecahkan mesin pengeluaran wang (ATM) di sebuah bank di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, tindakan suspek berusia 39 tahun tersebut bagaimanapun dikesan pihak pengurusan bank berkenaan lalu menghubungi pasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, polis kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menumpaskan suspek terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati suspek cuba memecahkan salah sebuah mesin ATM dengan menggunakan absorber kereta.

“Siasatan awal mendapati suspek dikatakan datang seorang diri dengan menaiki bas dari Georgetown. Siasatan juga mendapati motif suspek melakukan sedemikian adalah disebabkan tekanan hidup.

“Dalam kejadian ini, suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu gagal memecah mesin ATM,” katanya.

Kamarul Rizal memberitahu, pemeriksaan lanjut polis mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian berlaku.

Beliau berkata, suspek ditahan di Lokap IPD untuk siasatan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. –Utusan

Google ads
Back to top button