Buletin

ATM AKAN DIGERAK MULAI AHAD UNTUK KAWAL PERGERAKAN RAKYAT. TETAPI INI BUKAN PERINTAH DARURAT

Bermula Ahad ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digerakkan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat. Namun ia bukanlah satu perintah darurat.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kerajaan yakin dengan penglibatan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.

“Kita berharap rakyat akan patuh kepada arahan tentera. Berdasarkan kepada laporan pihak polis, jelas nampak ada peningkatan dari segi pematuhan rakyat. Kita ucap terima kasih.

“Bagaimanapun, masih terdapat insiden ramai tidak mempedulikan arahan pihak kerajaan dan polis. Pada peringkat awal ini, kita hanya nasihat dan tindakan berhemah dilakukan.

“Kalau akhirnya sampai tahap tidak boleh kompromi, maka tindakan undang-undang akan digunakan,” kata Ismail Sabridalam satu sidang media hari ini.

Ismail Sabri turut menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.

“Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini jelas menimbulkan panik dalam kalangan rakyat. Ada sampai audio, ‘posting’ dalam Facebook yang mengatakan Menteri Pertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.

“Saya tidak tahu Menteri Pertahanan mana. Tiada dalam perancangan untuk perintah darurat. Malah kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Jadi, saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya,” katanya lagi. – Berita Harian

kredit foto: Media Adil

Google ads
Back to top button