
HONDA CIVIC HATCHBACK 2022 DILANCARKAN. 2 PILIHAN ENJIN, ADA TRANSMISI MANUAL
Honda baru sahaja melancarkan Civic Hatchback 2022 yang bakal diperkenalkan di beberapa pasaran seperti Amerika Syarikat. Seperti biasa, Malaysia tidak termasuk dalam senarai pasaran tersebut.
Bahagian hadapan model itu tampil sama dengan rekaan versi sedan yang diserlahkan oleh sepasang lampu utama LED nipis, gril radiator berwarna hitam dan lampu kabus. Perbezaan paling ketara pastinya di bahagian belakang yang dilengkapi pintu jenis liftgate.
Pintu liftgate itu membolehkan ruang kargo diakses dengan lebih mudah. Tidak perlu bimbang dengan ruang kerana tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40. Bagi memberi lebih keselesaan kepada penumpang belakang, ruang kaki sudah ditambah sebanyak 36mm.

Anda tidak akan tersilap dengan model sedan kerana ia dilengkapi sepasang lampu dan jalur LED pada bahagian bawah spoiler. Karekter sporty ditingkatkan lagi dengan ekzos berkembar dan rim lima jejari berwarna hitam (bergantung kepada varian yang dipilih).
Berbanding model terdahulu, jentera segmen C itu kini didatangkan dengan dua pilihan enjin. Enjin 2.0 liter aspirasi biasa empat silinder sebaris mampu menjana kuasa 158hp dan tork 187Nm. Manakala enjin 1.5 liter turbo untuk varian lebih tinggi pula berkuasa 180hp dan tork 240Nm.
Enjin itu kemudian dipasankan dengan kotak gear CVT. Apa yang lebih menarik, pelanggan boleh mendapatkan varian dengan transmisi manual pada barian Sport dan Sport Touring.
Ruang kabin pula berkongsi hampir semua yang ada pada model sedan. Antaranya ialah skrin kluster meter bersaiz tujuh atau 10.2 inci, sistem infohibur dengan skrin sentuh bersaiz 7 atau 9 inci bersama ketersambungan Apple CarlPay serta Android Auto tanpa wayar.

Rekaan papan pemuka kelihatan semakin menarik dengan kemasan honeycomb yang bertindak sebagai corong pendingin hawa.
Honda mendakwa Civic Hatchback mampu menawarkan pengendalian lebih mantap. Ia juga tidak berkompromi dari segi keselamatan apabila dilengkapi Honda SENSING dan pelbagai ciri lain berganung kepada varian yang dipilih.
Civic Hatchback juga hadir dengan dua warna baharu iaitu biru dan merah hati (Smokey Mauve Pearl).
Jentera itu dijangka dihasilkan di kilang Greensburg, Indiana dan bakal berada di bilik pameran Honda di Amerika dalam masa beberapa bulan lagi.
- BACA: HONDA CIVIC, KENAPA ADA REKAAN CUN DAN KURANG CUN?
- BACA: HONDA CIVIC GEN-11 DIPERKENALKAN. 2 PILIHAN ENJIN, REKAAN LEBIH SELAMAT
- BACA: DIJANJI HONDA CIVIC TAPI DAPAT MYVI. REMAJA LUAH RASA BENGANG TERHADAP BAPA DI LAMAN SOSIAL
- BACA: HONDA CIVIC EG TAPAU NISSAN GT-R DI LITAR DRAG. BETUL KE NI?
GALERI