
PERADUAN FUEL PENUH GAYA MYDEBIT JE DENGAN KAD ATM ANDA! TAWAR HADIAH KAWASAKI Z250 ABS, MODENAS PULSAR NS200 ABS
Tourism Malaysia dengan kerjasama Petron Malaysia dan Payments Network (PayNet) menjayakan kempen Peraduan Fuel Penuh Gaya MyDebit Je dengan Kad ATM Anda! dalam usaha mempertingkatkan mobiliti rakyat negara ini.
Selain itu, kempen berkenaan menyasarkan menggalakkan rakyat untuk berbelanja dan melancong dalam negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau yakin inisiatif menggabungkan teknologi dan pematuhan protokol atau SOP ke arah operasi digital tanpa sentuhan atau touchless digital operations di semua touch-points – tepat pada masanya dan harus menjadi contoh kepada semua pihak dalam industri ini.
“Usaha ini bukan sahaja dapat mendorong orang ramai untuk melancong dalam negara dengan selamat.
“Bahkan, mereka dapat mengambil peluang menikmati pelbagai khazanah alam semula jadi serta menerokai destinasi pelancongan yang mungkin belum dieksploitasi sebelum ini di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen peraduan berkenaan di stesen Petron NKVE.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, Pengurus Besar Petron Malaysia, Faridah Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.
Kempen peraduan akan bermula pada 1 Oktober sehingga 31 Disember tahun ini. Orang ramai layak menyertai peraduan dengan membuat pembelian petrol berjumlah RM5 minimum menggunakan kad MyDebit ATM di mana-mana 720 cawangan stesen Petron di dalam negara.
Petron adalah rangkaian stesen minyak pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna untuk membuat bayaran menggunakan kad MyDebit ATM tanpa dikenakan sebarang cagaran.
Sebelum ini, mana-mana pengguna yang menggunakan kad debit di stesen minyak akan disekat RM200 dan proses ini boleh mengambil masa sehingga tiga hari.
Pemenang bertuah berpeluang memenangi 169 hadiah lumayan yang ditawarkan termasuk membawa pulang Kawasaki Z250 ABS,Modenas Pulsar NS200 ABS, Go Pro Hero8 Black, point Petron Miles bernilai RM500 dan satu tahun bekalan Petron Rifer 4T Synthetic Blend.
Tourism Malaysia turut menawarkan 36 baucar penginapan di hotel-hotel Malaysia termasuk Pelangi Beach Resort & Spa, Langkawi; Hyatt House Kuala Lumpur, Mont Kiara; Maya Hotel KL, Best Western I-City Shah Alam, Fraser Place Puteri Harbour, Swiss-Garden Hotel Melaka & The Shore Hotel Melaka dan banyak lagi.