Buletin

CERMIN 8 BUAH KERETA PECAH ANGKARA KHIANAT DI KOTA DAMANSARA

Cermin depan dan belakang lapan buah kenderaan dilapor dipecahkan secara sengaja di kawasan tempat letak kenderaan Kota Damansara Driving Range, Petaling Jaya, semalam. 

Insiden tersebut disyaki berlaku akibat perbuatan khianat. Antara kenderaan yang terlibat ialah Perodua Myvi, BMW dan Honda Civic. Terdahulu, gambar kereta yang cerminnya pecah tular di media sosial. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood memberitahu beberapa pemilik kenderaan terbabit sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara.

Walaupun cermin kereta mereka dipecahkan, Ku Mashariman menyatakan barang milik peribadi pemilik kenderaan berkenaan bagaimanapun tidak hilang. 

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, kawasan itu tidak dilengkapi kamera litar tertutup dan kawasan parkir kereta itu tiada pengawal keselamatan,” katanya.

Setakat ini, tiada butiran suspek yang diperoleh kerana tiada saksi yang melihat kejadian itu, namun usaha mengesan suspek sedang dibuat.

“Kami percaya semua kereta berkenaan dipecahkan menggunakan objek keras dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat dan kerosakan.

Semalam, tular sebuah video menerusi akaun Facebook Wan Mahusin Wan Zain yang memaparkan cermin beberapa buah kenderaan dipecahkan individu tidak bertanggungjawab.  – BERNAMA

Google ads
Back to top button