Buletin

LELAKI REMBAT PELANCAR ROKET DI MEDAN PERANG. PUNCA KERETA MELETUP

Sebuah kereta dilaporkan meletup di Russia dan berpunca daripada senjata api yang dibawa masuk ke sempadan dari medan perang di Ukraine, lapor akhbar Metro UK.

Imej tersebar di media sosial menunjukkan bahagian belakang kereta itu hancur dengan serpihan berkecai di atas jalan raya. 

Menurut media tempatan, kejadian berlaku di bandar Mytishchi yang terletak sekitar 1.6 kilometer (km) ke timur laut Moscow.

Akhbar Vechernyaya Moskva (VM) melaporkan, sebuah pelancar roket antikereta kebal telah meletup di dalam but kereta dan menyebabkan dua orang cedera.

Saluran berita Telegram, Rusia 112 pula melaporkan, dua lelaki yang cedera itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami luka akibat letupan, manakala penduduk di kediaman berdekatan turut dipindahkan.

Seorang lelaki yang cedera itu dikenal pasti sebagai pesara tentera, Mejar Viktor Kovtykov yang berusia 52 tahun. Dia dikatakan membawa bantuan kemanusiaan ke Donbass di timur Ukraine.

Rakannya, Nikolay Podobrazny, 38, turut terperangkap dalam letupan itu dan kini berada di unit rawatan rapi. Senjata itu dikenal pasti oleh pakar-pakar di Ukraine sebagai Pansarskott 86 (AT-4) buatan Sweden. – KOSMO!

Google ads
Back to top button