Buletin

MCLAREN ARTURA DEBUT DI MALAYSIA. PHEV, 680PS, 0-100KM/J 3 SAAT, BERMULA RM1.05 JUTA

McLaren Artura baru sahaja diperkenalkan di McLaren Kuala Lumpur. Ia disifatkan sebagai sebuah supercar generasi seterusnya yang menandakan bermulanya era baru buat McLaren dari segi teknologi dan prestasi.

Menjadi model pertama hibrid berprestasi tinggi (High-Performance Hybrid, HPH), Artura menggabungkan teknologi termaju, dinamik pemanduan dan keupayaan sebuah jentera elektrik yang pasti dapat mengujakan pemandunya.

“Artura merintis jalan ke atas rangkaian supercar hibrid baharu yang bakal diperkenalkan oleh McLaren. Kami yakin Artura akan membawakan era baharu ke dalam permotoran supercar di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Operasi McLaren Kuala Lumpur, Ravinder Singh.

Sehingga kini, jentera hibrid McLaren hanya boleh didapati dalam Ultimate Series yang dirintis oleh model McLaren P1, sebelum diikuti oleh Speedtail Hyper-GT. Ia menggunakan rangkaian kuasa elektrifikasi untuk mencapai kelajuan melebihi 400km/j.

Artura dikuasakan oleh enjin 3.0 V6 turbo berkembar yang dibantu oleh axial-flux E-motor berkuasa 94bhp. Hanya seberat 160kg, enjin itu 50kg lebih ringan berbanding enjin V8 McLaren.

Enjin tersebut menjana kuasa 680PS dan tork 720Nm. Dengan berat hanya 1,498kg, supercar itu berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa tiga saat, 0-200km/h (8.3 saat) dan 0-300km/j (21.5 saat).

Jika berminat, Artura ditawarkan pada harga bermula RM1.05 juta dengan pilihan personalisasi yang cukup luas.

GALERI

Google ads
Back to top button