
LIMA TERBUNUH BILA KAPAL SELAM TITAN MELETUP BERHAMPIRAN TITANIC
Lima penumpang kapal selam mini Titan terbunuh bila kenderaan bawah air milik OceanGate itu dikatakan meletup di bawah permukaan laut. Letupan tersebut dikatakan berjaya dikesan oleh sistem pengawasan bunyi bawah laut rahsia milik tentera laut AS.

Letupan tersebut dikesan di lokasi Titan terputus hubungan dengan bilik kawalan sewaktu dalam perjalanan untuk melawat bangkai kapal persiaran paling popular di dunia, Titanic.
Pengawal Pantai AS menemui bangkai kapal selam malang tersebut (serpihan) seperti bahagian ekor dan beberapa komponen lain berhampiran bangkai Titanic ada kedalaman 3,800 meter Khamis lepas. Empat hari selepas tragedi berlaku.

Penemuan ini mengakhiri pencarian agensi pelbagai negara selama empat hari. Harapan untuk menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat sebelum ini semakin tipis kerana bekalan oksigen Titan hanya mampu bertahan selama 4 hari.
Syarikat pemilik Titan, OceanGate Expeditions dalam kenyataan bertulis menyenaraikan 5 orang penumpang yang telah terkorban dalam kemalangan tersebut termasuklah CEO OceanGate, Stockton Rush. Mangsa lain pula ialah taikun British-Pakistan,Shahzada Dawood (48) serta anaknya Suleman Dawood (19), pengembara British Hamish Harding (58) dan Paul-Henri Nargeolet (77) seorang pakar kapal selam dan pengkaji Titanic.
Belum dipastikan sama ada mereka akan mampu membawa balik mangsa ataupun tidak kerana masalah kedalaman laut dan tekanan yang sangat tinggi. Tekanan di lokasi kejadian adalah 400 kali ganda lebih tinggi dari tekanan permukaan laut.

Titan dijadualkan untuk kembali ke permukaan selepas selaman selama tujuh jam hari Ahad lepas tetapi terputus hubungan selepas dua jam. Sejumlah kapal dan pesawat pengawal pantai dari AS dan Kanada dikerahkan untuk memulakan carian dalam lingkungan 20,000 kilometer persegi bagi mengesan kedudukan Titan. Perancis turut menghantar robot bawah air untuk membantu.
OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John’s, Newfoundland.
Takziah diucapkan kepada kesemua mangsa.






