
POLIS BRITAIN DIARAH PANDU TIDAK MELEBIHI 144KM/J. KHUATIR ENJIN JENTERA MELETUP
Polis Britain diarahkan tidak memandu melebihi 144 km/j ketika mengejar penjenayah dan membalas panggilan kecemasan berikutan dikhuatiri enjin jentera BMW dipandu mereka boleh meletup.
Menurut laporan Daily Mail, panduan itu dikeluarkan terhadap 999 buah jentera BMW yang mendapat khidmat enjin N57.
Ketua polis mengarahkan pasukan anggota bersenjata dan trafik mengelak daripada memandu melebihi 32.18 km/j melangkaui had laju walaupun ketika mengejar penjenayah.
Dalam pada itu, pihak polis hanya boleh memandu pada kelajuan maksimum 144.8km/j sekiranya terdapat insiden kejar mengejar penjenayah di lebuh raya.
Majlis Ketua Polis Negara yang mengetuai cara pemanduan polis, Timbalan Ketua Konstabel Terry Woods mengakui pihaknya sedar mengenai masalah itu yang membabitkan beberapa kenderaan lama.
“Kami mengambil tindakan segera termasuk menawarkan panduan kepada pasukan polis untuk memastikan perkara ini ditangani.
“Majlis bekerjasama dengan Persatuan Pengurus Armada Polis untuk meneliti sebarang risiko dan keutamaan kami pada ketika ini adalah untuk memastikan peralatan digunakan selamat,” katanya.
Arahan itu dikeluarkan selepas insiden seorang anggota polis, Nick Dumphreys meninggal dunia akibat kereta BMW dipandunya terbakar pada tahun 2020 di Cumbria selepas menerima panggilan kecemasan ke lokasi jenayah.
Sementara itu, syarikat BMW memaklumkan masalah itu hanya membabitkan kenderaan polis khas disebabkan cara pemanduan mereka. – DailyMail/UTUSAN