" "
Buletin

PESANAN UBER EATS AKAN DIHANTAR SENDIRI GUNA IONIQ 5 SWAPANDU

Syarikat Motional yang ditubuhkan oleh Hyundai dan Aptiv baru-baru ini memperkenalkan perkhidmatan penghantaran autonomi bagi pelanggan-pelanggan Uber Eats di Santa Monica, California.

Penghantaran setiap pesanan Uber Eats itu akan menggunakan kereta elektrik Ioniq 5 swapandu yang dibangunkan oleh Motional, di mana Ioniq 5 akan terus menuju ke restoran selepas pesanan dibuat di platform tersebut.

Rakan niaga yang mengambil bahagian akan menerima notifikasi apabila kereta tersebut tiba di restoran, dan meletakkan pesanan yang dibuat oleh pelanggan pada ruang yang disediakan di kerusi baris kedua.

Setelah itu, kereta yang dikawal secara autonomi itu akan terus menuju ke lokasi pelanggan, di mana pelanggan boleh membuka kunci pintu Ioniq 5 untuk mendapatkan pesanan mereka.

Menurut Motional, pasukannya telah menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk mengkaji setiap titik pertemuan antara restoran dan pelanggan, selain menjalankan ujian ekstensif di seluruh kawasan Los Angeles.

“Penghantaran secara autonomi menandakan fasa baharu dalam perancangan komersial Motional,” jelas ketua pegawai operasinya, Abe Ghabra.

“Perkhidmatan ini akan memberikan pengalaman dan pembelajaran yang diperlukan bagi menjadikan Motional sebagai penyedia penghantaran autonomi yang boleh dipercayai. Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Uber, seterusnya memperkenalkan teknologi autonomi kepada pelanggan Uber Eats.

Google ads
Back to top button