Buletin

TAYAR PESAWAT TARA AIR MELETUP. PENUMPANG TOLONG TOLAK PESAWAT

Sebuah pesawat berdepan detik cemas apabila satu daripada tayarnya meletup ketika mendarat.

Bagaimanapun, juruterbang mampu mengawal keadaan dan pesawat itu dapat mendarat dengan selamat. 

Kejadian itu menyebabkan kapal terbang Tara Air terkandas di landasan sehingga menyebabkan banyak pesawat lain tidak dapat mendarat mahupun berlepas.

Pegawai Lapangan Terbang Bajura di Kolti turut ‘panik’ dengan kejadian itu, namun keadaan terkawal dan trafik pelepasan serta pendaratan pesawat dapat diuruskan dengan lancar.

Lapangan itu pula tidak mempunyai kemudahan menarik pesawat, sekali gus menyebabkan penumpang di dalam pesawat Tara Air keluar lalu menolak kapal terbang itu ke tepi landasan.

Video kejadian itu sempat dirakam beberapa penumpang di lapangan terbang tersebut dan menjadi tular dalam media sosial.

Ia mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dengan kebanyakannya memuji tindakan semua penumpang yang membantu menolak pesawat terbabit.

Seorang daripada pengguna media sosial menulis ‘anda hanya boleh saksikan kejadian seperti ini di Nepal’.

Seorang lagi pengguna media sosial pula memuji tindakan kesemua penumpang tersebut yang disifatkan bersedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa. – UTUSAN

Google ads
Back to top button