
LEXUS LC500 2025, PENDAKAP LANTAI BAHARU, ALCANTARA, 3.5L V6, 5.0L V8
Kepada yang tidak mahu memiliki model berprestasi Eropah, anda boleh beralih ke produk Jepun iaitu Lexus LC500.
LC500 dikeluarkan sejak 2017 dan turut ditawarkan secara rasmi oleh Lexus Malaysia. Harga? Bermula daripada RM1,379,000.
Mungkin juga ada yang mahu sensasi V8 seperti buatan Eropah dan Lexus turut menawarkannya melalui enjin 5.0 liter dengan kuasa lebih 470 ps dan 540Nm.
Dari segi rekaan, LC500 tampil menawan dengan aura tersendiri meskipun sudah lebih lima tahun di pasaran.
Penawaran kereta sport coupé mewah ini terus bersambung apabila Lexus memperkenalkan LC500h, LC500 dan LC500 Convertible yang dipertingkat untuk pelanggan di Jepun.
Sejak 2017, Lexus telah beberapa kali menambah baik prestasi asas dengan meletakkan keutamaan kepada hubungan di antara pemandu, kereta dan permukaan jalan.
LC500 terus ditingkatkan bagi memenuhi falsafah Lexus Driving Signature iaitu mutu pemanduan unik untuk jenama mewah ini.
Untuk model 2025, LC500 diuji di Pusat Teknikal Toyota Shimoyama di bawah konsep Always On dan konsep pembangunan sharper and more elegant terus diperhalusi.
Secara khusus, Lexus memasang pendakap bawah lantai pada bahagian depan dan belakang kereta.
Dengan ketegaran torsi yang lebih tinggi, kereta menawarkan kestabilan pemanduan cemerlang dan tindak balas tahap tinggi dan membolehkan kereta ‘taat’ pada pergerakan stereng oleh pemandu.
Bahagian dalam kereta turut diberi perhatian dan papan pemuka bahagian penumpang LC500h/LC500 dibalut Alcantara®.Â
Rekaan dalaman LC500 sama cantik dengan bahagian luar dan tidak dimakan usia.
Pelanggan di Jepun ditawarkan dua pilihan nadi iaitu 5.0 liter V8 (2UR-GSE) dengan kuasa 477 ps pada 7,100 rpm dan 540Nm pada 4,800 rpm. Enjin dipadan bersama kotak gear automatik sepuluh kelajuan (Direct Shift-10AT).
Pelanggan yang mahukan enjin lebih kecil dan kuasa elektrifikasi boleh dapatkan pakej 3.5 liter V6 (8GR-FXS) dengan kuasa 299 ps pada 6,600 rpm dan 356Nm pada 5,100 rpm.Â
Motor elektrik memiliki kuasa 132 kW (180 ps) dan 300Nm.
Pakej hibrid bertugas bersama bersama transmisi Multi Stage Hybrid System sepuluh nisbah gear dan kedua-dua model V8 dan V6 semestinya dipacu roda belakang.
Model hibrid khusus untuk LC500 dan tidak ditawarkan buat pelanggan LC500 Convertible.
Varian dan harga Lexus LC500 2025:
3.5L V6
- S Package: 15,330,000 yen (RM437,905)
- L Package: 14,500,000 yen (RM414,196)
5.0L V8
- S Package: 14,880,000 yen (RM425,051)
- L Package: 14,050,000 yen (RM401,291)
- LC Convertible: 15,500,000 yen (RM442,706)






