" "
Motosikal

KOVE 600 LANCER PESAING BAHARU SEGMEN CRUISER – ENJIN V-TWIN, 60.3HP

Kove merupakan antara jenama baharu yang semakin mendapat perhatian terutamanya menerusi model adventure dan rally.

Bagaimanapun, jenama motosikal dari China itu terus memperkembangkan tawaran bagi tahun 2025 kali ini menerusi motosikal gaya ‘cruiser’ pertama syarikat itu. 

Meskipun belum dilancarkan namun 600 Lancer itu muncul dalam dokumen kelulusan jenis terbaru yang telah difailkan di China. 

Untuk rekod, motosikal gaya cruiser mempunyai permintaan tinggi terutamanya di China maka tidak hairanlah Kove turut mahu bersaing dalam segmen tersebut. 

Menurut dokumen berkenaan, Kove 600 Lancer ini dipacu platform serba baharu, enjin V-Twin 578cc DOHC dengan bore dan stroke berukuran 72mm x 71mm dan berupaya menjana 60.3hp. Platform V-Twin juga menjaminkan karakter enjin yang lebih garang dan menghasilkan aliran tork yang lebih baik pada rev rendah dan pertengahan. Kove mendakwa cruiser terbaru ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 170km/j. 

Dokumen tersebut juga mendedahkan 600 Lancer ini hanya 200kg sekaligus 5kg lebih ringan berbanding QJMotor SRV 500. Meskipun begitu, Honda Rebel 500 lebih ringan dengan 191kg. 

Antara perincian lain didedahkan termasuk penggunaan rim 18-inci depan dan 16-inci belakang, fork jenis terbalik (USD), kaliper brek radial tunggal 4-piston, penyerap hentak berkembar belakang dan penggunaan tali sawat (belt). Selain itu, turut kelihatan penggunaan lampu LED penuh serta skrin TFT berbentuk bulat. 

Buat masa ini Kove belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran 600 Lancer ini namun hampir pasti model ini akan debut pada 2025. 

Google ads
Back to top button