" "
Buletin

LAKU DI EROPAH, TOYOTA C-HR HAMPIRI 1 JUTA! MODEL YANG MENGUBAH TANGGAPAN TOYOTA DI EROPAH

Sebelum ini kereta buatan Toyota dikritik kerana rekaan membosankan dan pemanduan yang tidak mempunyai jiwa.

Toyota menyedari hakikat tersebut dan membuat lonjakan. Kereta Toyota hari ini tampil agresif dan Gazoo Racing (GR) memainkan peranan penting dalam penjenamaan dan dunia permotoran.

Di antara model awal yang membuktikan kesungguhan Toyota ialah C-HR. Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini tampil agresif dan mudah menawan hati.

Toyota C-HR Orange Edition 2020

C-HR generasi pertama diperkenalkan pada 2016 dan walaupun sudah bertahun masih lagi nampak menarik. Generasi kedua diperkenalkan pada 2023 dan kekal membawa rekaan agresif.

Reka bentuk menarik sahaja tidak cukup dan perlu disusuli sambutan pasaran. C-HR juga membuktikannya dan jualan di Eropah dijangka mencecah sejuta unit menjelang penghujung 2024.

Di United Kingdom (UK), jualan C-HR sudah melebihi 136,000 buah. Penampilan C-HR yang menonjol berjaya mengubah persepsi Toyota di Eropah dan memberikan syarikat tarikan emosi lebih tinggi.

Toyota C-HR Orange Edition 2020

Lebih daripada separuh pelanggan menyatakan rekaan C-HR sebagai faktor utama pembelian dan menjadikannya model utama dalam menarik pelanggan pertama kali kepada Toyota.

Merentasi dua generasi, C-HR berjaya mengekalkan prestasi jualan yang kukuh dan satu daripada produk Toyota paling popular.

Pengenalan model hibrid plug-in (PHEV) beberapa bulan lalu menyaksikan lonjakan 93 peratus berbanding tahun lalu bagi model PHEV Toyota di Eropah.

Toyota C-HR PHEV GR Sport 2024

Reka bentuk coupé merupakan identiti utama C-HR dan generasi kedua tampil dengan lebih menyerlah.

Apa yang menarik adalah C-HR dibuat mengikut kereta konsep untuk jalanan dan boleh diperakui dengan jelas.

C-HR PHEV boleh dipandu menggunakan kuasa elektrik sehingga 66 kilometer (gabungan WLTP) dan sekitar 95 km (WLTP EAER City/(Electricity-Adjusted Electric Range) di kawasan bandar.

Sistem PHEV akan bertukar kepada mod hibrid apabila bateri kehabisan tenaga.

Polisi ekonomi sesebuah negara mementingkan pengeluaran setempat dan bateri PHEV dikeluarkan di Eropah iaitu di kilang Toyota Sakarya, Turkiye dan kini berusia 30 tahun.

Selain PHEV, C-HR pasaran UK ditawarkan dua rangkaian kuasa hibrid iaitu 1.8 liter yang menghasilkan 138 bhp dan 142Nm. Pelanggan yang inginkan lebih kuasa boleh dapatkan model 2.0 liter dengan 193 bhp dan 190Nm.

Dari segi pengendalian, C-HR PHEV dan GR Sport dilengkapi teknologi teknologi Kawalan Sensitif Frekuensi (FSC) ZF bagi meningkatkan prestasi pengendalian dan keselesaan.

Memandangkan C-HR generasi pertama ditawarkan di pasaran tempatan dan negara jiran adakah model baharu bakal turut serta?

Belum ada jawapan malah model ini belum ditawarkan di Jepun.

Google ads
Back to top button