Buletin

LEXUS LS F SPORT 2018 – INI LAH IKON KEMEWAHAN DARI TIMUR

Jenama Lexus dibangunkan untuk bersaing dengan jenama mewah Eropah seperti Mercedes-Benz, BMW dan Audi. Model-model yang dipasarkan menampilkan seni pembuatan tersendiri dan terperinci meskipun berada dalam kumpulan Toyota.

Satu perkara tentang Lexus sebelum ini ialah perkongsian model dengan Toyota dan ia sedikit-sebanyak menurunkan prestij penjenamaan mewah yang mahu ditonjolkan.

Menyedari hakikat itu, Lexus mahu tampil pada aras yang sepatutnya untuk sebuah jenama mewah dan ini boleh dilihat pada barisan model-model terkini dengan DNA tersendiri dan gayaan memukau.

Sebagai contoh, Lexus LS generasi kelima yang baru dilancarkan di Jepun pada 19 Oktober lalu tampil dengan reka bentuk menyerlah dan menggagumkan. Sekali pandang sudah jelas di mana letaknya model ini dan ia tampil tersendiri sebagai ikon kemewahan dari Jepun dan Asia. 

Lexus LS baharu ini membawa DNA tradisional LS iaitu prestasi lancar dan berkuasa dan juga ketenangan dan keselesaan yang luar biasa. DNA tersebut diturunkan melalui dari generasi LS pertama yang mula diperkenalkan pada tahun 1989.

Dari segi reka bentuk, LS yang menggunakan platform GA-L (Lexus Global Architecture-Luxury) tampil dengan gaya coupe tetapi pada masa sama mengekalkan ruang dalaman luas. 

Suatu yang menarik perhatian tentang model-model Lexus ialah versi F-Sport. Varian ini khusus untuk pemilik dan pemandu yang mahukan karakter sporti sama seperti BMW varian M Sport atau Mercedes-Benz varian AMG. 

Untuk membezakan prestasi pemanduan varian F-Sport dengan model standard, Lexus menggunakan sistem Vehicle Dynamics Integrated Management yang mengintegrasi beberapa kawalan lain seperti Variable Gear Ratio Steering, Electric Power Steering dan Dynamic Rear Steering.

Selain sistem Lexus Dynamic Handling, LS F-Sport turut mempunyai kawalan koordinasi aktif untuk penstabil (stabilizers) yang mampu untuk mengawal kedua-dua olengan kereta dan juga pergerakan atas dan bawah.

Satu masalah tentang kereta mewah terutama sekali Lexus ialah ia tidak boleh menunjukkan pemanduan setajam atau tergesa-gesa seperti kereta sport di mana ia mesti nampak bersahaja atau seperti lelaki budiman.

Sistem koordinasi pada model ini membolehkan pergerakan kereta kekal tampak stabil dengan keselesaan tinggi dan pada masa sama menawarkan tindak balas stereng responsif dan juga ketenangan minda dalam apa jua keadaaan pemanduan.

Lexus LS F ditawarkan dalam dua varian enjin iaitu V35A-FTS (3.5-liter, turbo berkembar V6) dan dipadankan dengan transmisi Direct Shift-10AT.

Varian hibrid dikuasakan oleh enjin 8GR-FXS V35A-FTS (3.5-liter V6) dengan padanan transmisi CVT dari Lexus Hybrid Drive dengan empat kelajuan automatik. Transmisi tersebut apabila dialihkan kepada mod manual mempunyai 10 tukaran gear.

Untuk sistem pacuan, kedua-dua varian LS ditawarkan dalam pacuan belakang (FR) dan kesemua roda (AWD).

Di Jepun, Lexus LS500 F Sport ditawarkan pada harga JPY 12,000,000 (FR) dan JPY 12,100,000 (AWD) bersamaan dengan RM449,956 dan RM 446,249.

Lexus LS500h F Sport pula pada harga JPY 13,100,000 (FR) dan JPY 13,500,000 (AWD) bersamaan dengan RM 487,161 dan RM 501,924.

Harga tersebut sebenarnya agak berpatutan dan di beberapa pasaran utama, lebih rendah jika dibandingkan dengan pesaing lain seperti BMW 7 Series, Mercedes-Benz S Class dan Audi A8. Menariknya, Lexus tampil dengan reka bentuk lebih agresif berbanding jenama-jenama Eropah tersebut.

BACA: WARNA KERETA LEXUS DIINSPIRASI DARI RAMA-RAMA – HASIL KAJIAN SELAMA 15 TAHUN

BACA: KENAPA KERETA MODEN SEMAKIN BANYAK GEAR? (DAN LEXUS BARU INI ADA TRANSMISI 10 KELAJUAN)

Google ads
Back to top button