Buletin

WARNA KERETA LEXUS DIINSPIRASI DARI RAMA-RAMA – HASIL KAJIAN SELAMA 15 TAHUN

Biasanya pelajar sekolah berusia 15 tahun akan mengambil peperiksaan PT3. Untuk Lexus pula tempoh itu adalah masa yang diambil bagi membangunkan teknologi warna baharu yang diinspirasi dari sayap rama-rama.

Warna baharu yang dimaksudkan ialah Structural Blue di mana pasukan kajian Lexus terinspirasi dari rama-rama American Morpho. Spesis itu terkenal dek kerana sayap berwarna biru yang pekat dan berkilauan.

Warna Structural Blue adalah hasil daripada penyelidikan teliti tentang bagaimana teknologi maju dapat menghasilkan kemasan yang lebih pekat, berkilau dan pada asasnya lebih “biru” berbanding apa yang ada sebelum ini.

Warna ini pertama kali pertontonkan pada Lexus LC Grand Tourer semasa Pameran Kenderaan Geneva 2016 dan kini telah dibangunkan untuk model produksi yang menambah lagi elemen eksklusiviti dan kualiti kerja tangan model LC Coupe.

Warna Structural Blue bukan senang untuk dihasilkan, disebabkan teknologi rumit dan kualiti prosesnya, hanya dua kereta dengan warna ini dapat dihasilkan dalam tempoh sehari di kilang Lexus Motomachi.

Tempoh 15 tahun untuk membangunkan warna ini adalah hasil kerjasama di antara pusat teknikal Lexus Amerika Syarikat dan Jepun dan VIAVI Solutions Inc. yang berpangkalan di California, iaitu sebuah pembekal terkemuka lapisan filem dan pigmen optik nipis.

Penghasilan warna Structural Blue adalah satu pencapaian dari cabaran teknikal yang luar biasa. Bagi menghasilkan warna ini, pasukan penyelidikan telah mengkaji struktur sayap rama-rama Morpho bagi menentukan bagaimana kesan gemerlapan yang sama dapat dihasilkan dengan cat kenderaan.

Satu fakta menarik yang ditemui ialah sayap rama-rama itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang warna. Warna biru yang dilihat oleh mata manusia adalah hasil daripada gangguan ringan pada struktur permukaan kisi (lattice) mikroskopik sayap rama-rama itu.

Untuk menghasilkan warna dengan luminasi tinggi dan ketepuan warna (saturation) sebegitu memerlukan satu kaedah baharu dalam mencipta pigmen pelbagai lapisan. Ia begitu sukar sehinggakan standard sebegitu hanya dapat dihasilkan melalui pigmen dengan sejumlah 40 lapisan.

Walaupun sukar, pasukan penyelidik tidak berputus asa dan terus menambah baik proses sehingga mereka berjaya melakukannya dengan hanya tujuh lapisan. Kejayaan itu menjadikan ia lebih praktikal untuk digunakan pada kenderaan yang sangat eksklusif.

Pigmen itu digunakan bagi menghasilkan cat baharu dalam proses produksi yang mengambil masa lapan bulan. Proses itu termasuk 12 langkah produksi dan 20 pemeriksaan kualiti. 

Warna itu dilayangkan pada badan Lexus LC dengan lapisan 15 mikrometer di antara car primer dan lapisan clear. Struktur nano – bintikan kecil sangat halus dalam cat tersebut menghasilkan kilauan dan memberi impresi warna yang berubah mengikut cahaya. 

Cat konvensional dengan pigmen biasa memantulkan kurang dari 50 peratus dari cahaya bagi menampakkan warna biru. Tahap yang sama untuk warna Structural Blue adalah hampir 100 peratus. Secara keseluruhannya, 300g pigmen dengan 300 biliion cebisan pigmen digunakan untuk sebuah Lexus LC.

Hebat dan menggagumkan bukan? Tidak hairanlah ia mengambil masa 15 tahun untuk dibangunkan. Warna baharu ini dijangka dapat menyerlahkan lagi kehadiran LC Coupe di atas jalan raya berbanding kereta lain. Warna ini juga akan mula ditawarkan oleh Lexus Australia bermula tahun depan dalam kuantiti terhad.

Paling penting, kejayaan ini menunjukkan Lexus benar-benar jenama yang serius dalam segmen premium dan mereka mahu berada di aras tersendiri.

BACA: KENAPA KERETA MODEN SEMAKIN BANYAK GEAR? (DAN LEXUS BARU INI ADA TRANSMISI 10 KELAJUAN)

 

Google ads
Back to top button