Buletin

SELEPAS DIPANDU SELAMA 53 TAHUN, TOYOTA COROLLA GENERASI PERTAMA INI BEREHAT DI MUZIUM

Apabila sebuah kereta mampu bertahan sehingga 53 tahun, ia bukan hanya melambangkan ketahanan jentera tersebut, malah menjadi sebahagian dari kehidupan dan nostalgia pemiliknya.

Inilah yang dialami oleh Asado Shogo, 77, pemilik Toyota Corolla generasi pertama yang akan diberi penghormatan oleh Toyota untuk mempamerkan keretanya di dalam muzium rasmi Toyota.

Seperti kebanyakan orang muda, Shogo yang ketika itu berusia 24 tahun menggunakan Corolla tersebut untuk dating dan bertemu bakal isterinya, Mitsuko. Mereka kemudian membina sebuah keluarga, pergi berbulan madu dan membawa pulang anak perempuan dari hospital dengan Corolla itu.

Selama 53 tahun, Corolla itu telah mengembara sejauh lebih 563,000km. Ia berjaya bergerak sejauh itu kerana Shogo menyelenggaranya dengan teliti dan menggunakan alat ganti tulen. Kini, Corolla itu menggunakan fender dari Thailand dan tayar yang semakin sukar untuk dicari.

Memiliki kereta lama seperti ini adalah sesuatu yang luar biasa di Jepun kerana ia sangat mahal untuk didaftarkan. Tidak sampai dua peratus kereta didaftarkan di Jepun berusia lebih 30 tahun.

Menyimpan Corolla itu nyata berbaloi. Anak perempuan Shogo sempat mencipta semula foto yang diambil oleh ibu bapanya semasa menaiki kereta tersebut pulang ke rumah, kali ini bersama anak perempuannya sendiri yang juga cucu perempuan Shogo.

Kini Corolla milik Shogo tidak lagi berada di jalan raya kerana Toyota mengambil kereta itu pada awal Julai untuk dipamerkan di Muzium Bandaraya Toyota apabila ia dibuka pada 2024. Shogo dan Mitsuko menitipkan kata perpisahan untuk kereta itu:

“Dia berada dalam keadaan sempurna dan berfungsi dengan baik selama 53 tahun, bukan? Saya gembira kerana ia dipelihara dengan baik. Saya berasa sunyi kerana saya terikat dengan anda, terima kasih atas kerja keras anda untuk masa yang sangat lama,” kata mereka yang berasa senang hati apabila mengetahui Corolla lama mereka masih hidup bukan sahaja dalam ingatan, tetapi berada di bawah jagaan Toyota.

Google ads
Back to top button