PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH 2, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG
Toyota dengan van adalah satu perkara yang sebati. Toyota bukan pelopor segmen ini tetapi berjaya mempopularkannya dengan pelbagai jenis kegunaan dan varian daripada mengangkut barang hinggalah digunakan sebagai kenderaan orang kenamaan dan para menteri.
Pengetahuan, pengalaman dan sejarah yang kaya dalam segmen ini sebenarnya sudah boleh dijadikan sub jenama khusus untuk van keluaran Toyota seperti istimewanya Lexus.
Di dalam barisan van keluaran Toyota, syarikat ini begitu bijak menggunakan model yang sama tetapi dengan identiti dan segmen berbeza.
Lihat sahaja model-model terdahulu seperti Townace dan Liteace yang digunakan sebagai van perdagangan dan dinaik taraf menjadi van mewah.
Prinsip satu model dua fungsi atau identiti diteruskan sehingga kini dan ia boleh dilihat melalui Alphard dan Vellfire atau Hiace dan Granvia.
Mungkin ada yang tertanya apa perlunya satu model mempunyai dua nama dan reka bentuk seperti Alphard dan Vellfire?
Sejarah kedua-dua van mewah ini bermula pada 12 Mei 2008 apabila Toyota memperkenalkan Alphard dan Vellfire di Jepun.
Dalam menjelaskan perbezaan tersebut Toyota memaklumkan Alphard lebih kepada elegan (elegance) dan perincian (refinement) manakala Vellfire pula lambang kepada kuasa (power) dan inovasi (innovation).
Kedua-dua van menggunakan falfasah reka bentuk Vibrant Clarity yang dipegang Toyota pada masa itu.
Dari segi reka bentuk, perbezaan yang mudah dilihat ialah Alphard menggunakan lampu jenis memanjang ke atas manakala Vellfire pula unik dengan dua lampu yang dipisahkan dan melintang.
Identiti Alphard juga pada tema huruf V seperti corak gril manakala Vellfire pula menggunakan gril melintang dan senada dengan lampu yang terpisah. Reka bentuk lampu belakang juga sama terpisah di antara atas dan bawah manakala Alphard pula hanya tunggal seperti lampu depan.
Gayaan V pada Alphard dan melintang pada Vellfire masih dipegang kuat sehingga model terbaru yang ada pada hari ini.
Untuk enjin kedua-dua van ini dibekalkan dua jenis yang sama iaitu 2.4 liter 2AZ-FE dengan transmisi Super CVT-i dan 3.5 liter 2GR-FE dengan transmisi 6 Super ECT.
Jumlah tempat duduk juga sama di antara Alphard dan Vellfire iaitu sama ada tujuh atau lapan.
Berkenaan dengan harga, Alphard dan Vellfire mempunyai 15 varian daripada paling asas, premium dan welcab dan kesemuanya ditawarkan pada harga sama.
Identiti untuk ke-15 varian tersebut dibezakan dengan mudah sahaja. Contohnya Alphard menggunakan varian 240X manakala Vellfire pula 2.4X. Satu lagi identiti ialah Alphard menggunakan L Package manakala Vellfire dinamakan L Edition.
Satu lagi persamaan ialah 30 varian Alphard dan Vellfire dijual pada harga sama belaka. Alphard 240X yang merupakan varian asas dijual pada harga JPY 3,000,000 dan sama juga untuk Vellfire 2.4X.
Varian paling premium iaitu Alphard L Package dan L Edition juga berkongsi harga JPY 4,500,000.
Walaupun Alphard dan Vellfire mempunyai begitu banyak persamaan, Toyota tetap berjaya memisahkan kedua-duanya dan mempunyai penggemar tersendiri.
Identiti berbeza tersebut diteruskan sehingga kini dengan perbezaan gaya luaran yang semakin menyerlah untuk kedua-dua Alphard dan Vellfire.
BACA: TOYOTA AVANZA 2019 – INI RASANYA MEMANDU BABY VELLFIRE
BACA: TOYOTA GRANVIA DAN GRAND HIACE, VAN MEWAH SEBELUM ALPHARD/VELLFIRE
BACA: VELLFIRE MAHAL? TOYOTA VOXY LEBIH MURAH DAN DIJUAL DI MALAYSIA