
PERKHIDMATAN E-HAILING PERLU DIKAWAL SELIA DENGA LEBIH TELITI. BIAR ADIL PADA PEMANDU DAN PENGGUNA
Bila perkhidmatan e-hailing atau seru pandu diperkenalkan beberapa tahun dulu, penulis rasa mungkin ramai yang bersyukur kerana sekurang-kurangnya kita ada banyak pilihan selain daripada menaiki teksi dan bas atau LRT untuk sampai ke rumah. Tak semua orang berupaya memiliki lebih daripada 2 kenderaan pada masa yang sama disebabkan faktor kewangan dan juga ruang parkir yang terhad
Pada masa yang sama perkhidmatan seru pandu ini membuka ruang dan peluang kepada penduduk untuk menjadi pemandu secara sambilan bagi menambah wang pendapatan. Pernah satu ketika pemandu seru pandu berpeluang membawa balik sehingga RM 10,000 sebulan dengan memandu secara sambilan. Kalau ditambah dengan gaji tetap, memang lumayan
Tapi apabila semakin banyak aplikasi seru pandu diperkenalkan di Malaysia dengan kapasiti pengguna yang terhad, persaingan menjadikan khidmat seru pandu menjadi tidak adil kepada pemandu, pengguna dan juga penyedia aplikasi. Mungkin ia bagus dari segi persaingan penawaran harga, tapi faktor ini akan menjadi faktor pembunuh kepada pemandu dan penyedia e-hailing yang sah
Sebagai contoh, sewaktu diperkenalkan satu ketika dulu pemandu boleh mendaftar dengan mudah dan memandu dengan segera. Tapi ia tidak menggembirakan pemandu teksi yang dikenakan dengan pelbagai peraturan seperti pemeriksaan berkala, permit dan juga insuran. Jadi pihak berkuasa mula campur tangan
Apabila perkhidmatan seru pandu dikawal selia oleh pihak kerajaan, pemandu mula dibebankan dengan permit EVP, pemeriksaan berkala, insuran tambahan bagi penumpang dan juga kos servis yang menjadi semakin mahal setiap tahun. Ia adalah kos yang biasa ditanggung oleh pemandu teksi, tapi membebankan pada pemandu e-hailing.
Tambah memburukkan lagi keadaan ialah persaingan daripada penyedia seru pandu yang tumbuh bagaikan cendawan saban tahun. Ya persaingan adalah bagus jika semua pihak seperti pengguna dan pemandu mendapat keadilan yang sewajarnya. Persaingan juga memberikan peluang kepada penyedia untuk memberikan servis yang terbaik kepada penumpang
Tapi sebaliknya yang berlaku ialah demi persaingan kebanyakan penyedia perkhidmatan seru pandu ini mula “buang harga” yang tak masuk akal. Sebagai contoh jika anda perlu bergerak dari KLIA ke pusat bandar, kos teksi biasa ialah sekitar RM 120 sebagai anggaran. Kos ini akan menjadi lebih mahal jika anda memilih untuk menggunakan khdmat limo lapangan terbang
Tapi ia masih berbaloi kerana limo biasanya menggunakan kereta yang lebih selesa dan besar. Bila perkhidmatan seru pandu diperkenalkan, mereka hanya mengenakan kos sekitar RM 90-100 bagi jarak perjalanan yang sama. Aplikasi akan mengira jarak perjalanan dan anda akan dikenakan kos yang sewajarnya
Bagi kebanyakan penumpang, ia adalah kos yang wajar dan boleh diterima kerana kereta seru pandu yang digunakan lebih selesa daripada teksi. Sebaik sahaja persaingan aplikasi seru pandu yang lain mula memasuki pasaran, harga yang ditawarkan mula menjadi mengarut. Tapi ia akan menjadikan penumpang semakin gembira.
Sebagai contoh KLIA ke pusat bandaraya Kuala Lumpur hanya menjadi RM 65 sahaja, lebih murah daripada sebelum ini. Bagi menampung kos tambahan, syarikat penyedia aplikasi akan memberi insentif tambahan kepada pemandu sebanyak RM 15 menjadikan pulangan kepada pemandu ialah RM 80.
Tapi kalau anda lihat hari ini, kebanyakan pemandu seru pandu akan mengeluh kerana harga menjadi semakin rendah dan tidak masuk akal. Kadangkala harga yang dikenakan tidak mampu menampung kos memandu. Anda perlu ingat syarikat seru pandu akan mengenakan komisyen antara 10-20% atas tambang daripada pemandu
Jika satu ketika dulu, pemandu boleh membawa pulang Rm 10,000 secara kasar, maka pada hari ini kebanyakan pemandu tidak mampu meraih pulangan yang sama. Nak dapat RM 5000 pun sukar, kadangkala hanya cukp makan sahaja. Mereka masih perlu membayar ansuran kereta, membayar kos insuran dan pemeriksaan berkala.
Berbeza dengan awal penubuhan seru pandu, kebanyakan pemandu dulu memandu sekadar ingin menambah pendapatan bulanan. Tapi selepas melihat rakan-rakan lain mampu meraih sehingga RM 10,000 sebulan ramai yang berhenti kerja dan memandu secara sepenuh masa dan ia menjadi mata pencarian pendapatan utama mereka
Kereta yang lama sudah dijual dan digantikan dengan kereta baru dengan harapan mereka memperolehi pendapatan yang banyak. Tapi apakan daya persaingan menyebabkan mereka terperangkap dan sukar keluar dari industri seru pandu. Nak memandu tambang rendah, kerja hakiki sudah berhenti.
Apatah lagi dengan keadaan ekonomi negara yang malap dibadai COVID-19 menjadikan peluang pekerjaan semakin terhad. Malah kehadiran beberapa aplikasi haram yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa dengan harga yang lebih rendah semakin memburukkan keadaan
Di sinilah penulis berasa hairan, jika industri seru pandu dikawal selia kenapa masih ada aplikasi yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa masih boleh beroperasi seperti biasa seperti negara kita tiada undang-undang? Di manakah pihak berkuasa bagi tujuan penguatkuasaan?
Penulis yakin tak semua pengguna boleh tahu aplikasi yang diiklankan adalah aplikasi haram atau dibenarkan beroperasi jika tidak diberitahu. Malah sesetengah aplikasi yang diiklankan selain menaarkan harga yang luar biasa murah, tidak memiliki keizinan untuk beroperasi selain pejabatnya berada di luar negara?
Bagaimana nasib pemandu dan penumpang boleh dibela jika ada berlaku apa-apa masalah? Disebabkan harga yang murah, pemandu kadang-kala tidak mahu mengambil penumpang melainkan diberi insentif oleh syarikat penyedia perkhidmatan. Tapi syarikat penyedia akan memaksa pemandu mengambil penumpang dengan harga murah, jika tidak rating mereka akan jatuh
Jika rating mereka jatuh terlalu teruk, mereka tidak lagi akan dibenarkan memandu pada masa akan datang. Sebagai contoh perjalanan 3km dengan kos RM 6 tapi perlu menempuh kesesakan jalan raya selama 30 minit. Tak semua pemandu sanggup nak hadap.
Aplikasi haram juga kadang kala menawarkan harga luar biasa murah, seperti dari Genting Highland ke Kuala Lumpur dengan kos RM 15 sahaja. Ini memberikan tekanan pada pemand seru pandu yang lengkap berpermit kerana harga yang terlalu rendah ini tidak mungkin akan diterima oleh mereka
Ini belum lagi dengan isu lain seperti penyedia e-hailing yang mengenakan denda, penalti dan juga sekatan kepada pemandu atas alasan rating yang jatuh, tidak mahu mengambil dan membawa penumpang yang dekat tapi permu memandu lebih 5km untuk mengambil mereka dan lain-lain alasan yang tidak munasabah
Kadangkala penyedia e-hailing juga mengenakan denda dan penalti kepada penumpang disebabkan penumpang gagal berada di lokasi yang betul sedangkan masalah yang berlaku berpunca daripada kesilapan atau glitch daripada sistem e-hailing seerti yang terjadi pada penulis
Antara saranan kami kepada pihak berkuasa ialah:
1. kaji semula bilangan aplikasi e-hailing yang dibenarkan beroperasi di Malaysia, biar sesuai dengan bilangan penduduk Malaysia. Setakat ini ada 30 aplikasi yang diluluskan ntuk beroperasi di Malaysia
2. Wujudkan satu saluran khas bagi pemandu dan dan penumpang untuk membuat aduan pada pihak berkuasa berkenaan isu-isu yang tidak adil pada pemandu dan penumpang. Susah juga kalau asyik syarikat e-hailing yang betul
3. Penulis merasakan pihak berkuasa juga perlu menyediakan garis panduan harga kepada pemandu dan juga penyedia perkhidmatan e-hailing sama seperti yang digunakan oleh teksi. Dengan kos operasi yang meningkat, harga yang murah akan menyebabkan kualiti e-hailing akan menurun
4. Umumkan nama-nama aplikasi e-hailing haram yang berada di pasaran di media sosial agar pengguna tidak lagi menggunakan aplikasi tersebut dan terdedah kepada risiko luar jangka
5. Penguatkuasaan secara berkala boleh dilakukan di kawasan hotspot agar semua aplikasi yang ditawarkan adalah aplikasi yang sah.
6. Memudahkan urusan EVP dengan menukar pemilikan EVP daripada dikawal oleh syarikat e-hailing kepada pemandu bagi memudahkan urusan di masa depan. Sekiranya syarikat e-hailing bankrap, siapakah yang bertanggung jawab pada pembatalan EVP?
Kalau anda ada idea lain yang kita boleh kemukakan pada pihak berkuasa agar industri e-hailing kita bertambah baik, adil dan berdaya saing bolehla kemukakan idea di ruangan komen di bawah.