" "
Buletin

PADA 2019 TOYOTA C-HR GR SPORT DIPERKENAL DI JEPUN, 1.2L TURBO MANUAL DAN 1.8L HIBRID!

Beberapa tahun lalu Toyota C-HR begitu popular walaupun belum berada di bilik pameran tempatan secara rasmi. Bentuknya yang agresif menambat hati dan UMW Toyota melancarkan C-HR pada tahun 2018, dua tahun selepas pengenalannya di Jepun.

C-HR pasaran tempatan diimport dari Thailand dan dijual pada harga RM145 ribu dan lebih tinggi berbanding Mazda CX-3 dan Honda HR-V.

Sehingga kini C-HR masih lagi dijual di beberapa pasaran antarabangsa dengan model facelift diperkenalkan pada 2019 dan disusuli perubahan lain mengikut pasaran.

Untuk pasaran Jepun, ada varian sporti iaitu C-HR GR SPORT yang dilancarkan serentak dengan model facelift pada 18 Oktober 2019.

Model 2019 tampil dengan beberapa perubahan seperti bampar depan dan belakang baharu dan lampu kabus dinaikkan ke atas.

Lampu LED depan C-HR G, GT, S GR SPORT dan ST GR SPORT disekalikan dengan lampu DRL dan lampu isyarat dengan nyalaan secara sequential dari dalam ke luar.

Varian GR dibahagikan kepada dua iaitu ST GR SPORT dan S GR SPORT. Perbezaan paling utama ialah C-HR ST GR SPORT digerakkan enjin 1.2L turbo 8NR-FTS dengan transmisi manual enam kelajuan iMT.

Sebuah lagi GR SPORT menggunakan enjin hibrid 1.8L 2ZR-FXE THSII. Tidak seperti C-HR lain, kedua-dua varian sporti ini hanya ditawarkan dengan pacuan 2WD.

C-HR GR SPORT dipasangkan pendakap tengah di bawah lantai bagi mempertingkatkan lagi ketegaran badan dan respon stereng.

Turut berbeza ialah penalaan khas GR pada penyerap hentak, gegelung, penstabil dan stereng berkuasa elektrik untuk mendapatkan pemanduan lebih sporti.

Roda pula besar dengan saiz 19 inci dan dipadan bersama tayar profail rendah 225/45.

Pada bahagian luar, identiti GR jelas boleh dilihat pada bampar depan yang seragam sehingga kini.

Warna badan ada 11 pilihan seperti Emotional Red II dan lima warna dua tona seperti Metal Stream Metallic x Black Mica.

Pada bahagian dalam, C-HR GR Sport didatangkan secara eksklusif dalam warna hitam. Stereng dibalut kulit asli dengan sulaman perak.

Kerusi yang digunakan sedikit berbeza daripada C-HR lain dari segi sokongan tepi dan mempunyai logo GR selain sulaman perak.

Pedal kaki jenis aluminium dan butang penghidup enjin turut memaparkan logo GR.

Berkenaan harga, sewaktu diperkenalkan pada 2019 C-HR ST GR SPORT dijual pada 2,732,000 yen dan 3,095,000 yen untuk S GR SPORT.

BACA: PADA 2008 TOYOTA iQ DIPERKENAL, KERETA KECIL TANPA 660CC TURBO

BACA: PADA 1994 TOYOTA RAV4 DIPERKENAL, SAIZ TAK SAMPAI 4 METER PUN!

BACA: PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH DUA, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG

Google ads
Back to top button