PADA 1994 TOYOTA RAV4 DIPERKENAL, SAIZ TAK SAMPAI 4 METER PUN!
Pada tahun 2004 Toyota RAV4 pernah dipasarkan di dalam negara secara rasmi dan bersaing dengan Honda CR-V dan Nissan X-Trail. Memandangkan ia adalah unit import sepenuhnya (CBU), harga yang ditawarkan ialah dari RM180,000 hingga RM186,000.
Selain dibawa secara rasmi, RAV4 juga popular di kalangan pengimport bebas malah trend itu dimulakan sejak generasi pertama lagi.
Sememangnya kenderaan buatan Toyota popular, lihat sahaja jumlah pelbagai jenis model di atas jalan raya kita.
Generasi pertama RAV4 diperkenalkan pada tahun 1994 dengan Toyota menamakannya sebagai SUV urban pertama dunia.
Sebelum itu, kenderaan tinggi dengan pelbagai guna dan lasak popular dipanggil jip atau 4×4.
RAV4 hadir dengan reka bentuk bergaya dan sleek, berbeza dengan 4×4 dengan imej rugged dan utilitarian.
Ia nampak lebih serasi untuk meneroka hutan batu berbanding hutan tropika atau padang pasir.
RAV4 tampil dengan jenis badan tiga pintu dan bentuk kompak. Saiznya tidak sampai empat meter panjang atau 3.69 meter sahaja.
Enjin yang dibekalkan ialah 2.0 liter berkuasa 129 DIN hp dengan bentangan melintang.
Pacuan pula jenis empat roda sepenuh masa tanpa transfer box nisbah rendah yang biasa didapati pada SUV konvensional pada masa itu.
Bayangkan Mitsubishi Pajero Sport sekarang ini pun menggunakan pacuan 2WD sahaja.
Satu lagi inovasi yang dibawa RAV4 ialah badan jenis monocoque dan suspensi belakang bebas, suatu yang berbeza dengan ladder frame Mitsubishi Pajero dan Toyota Land Cruiser.
RAV4 hadir dengan idea segar pada masa itu dan tidak hairan mengapa Toyota memanggilnya sebagai SUV urban.
Saiz yang kompak dan posisi pemanduan tinggi membolehkan RAV4 senang dipandu selain pengendalian yang lincah dan keselesaan penumpang lebih kepada hatchback berbanding kenderaan AWD.
Pada 1996 barulah model lima pintu diperkenalkan dengan ukuran yang lebih panjang iaitu 4.1 meter.
Kali ini Toyota turut menawarkan pilihan pacuan dua roda depan.
Inovasi Toyota tidak terhenti dan semakin galak, versi tiga pintu dengan bumbung soft-top pula menyusul.
Satu fakta menarik apabila model EV bateri elektrik dikeluarkan dalam unit terhad dari tahun 1997 hingga 2000.
Di pasaran hari ini ialah RAV generasi kelima yang pertama kali diperkenal pada 2018 dan dilancarkan di Eropah pada awal 2019.
Model itu sangat berjaya dan pada tahun lalu merupakan SUV paling laris di dunia. Jualan tertinggi ialah di Amerika Syarikat sebanyak 535,000 unit disusuli Eropah, 133,000 unit dan China, 127,000.
Jualan RAV4 sehingga hujung Februari lalu telah pun melebihi 10 juta unit!
RAV4 adalah SUV pertama yang dibina dari pelantar Toyota New Global Architecture (TNGA) dan mempunyai beberapa faedah seperti pengendalian, keselamatan dan reka bentuk.
Sebagai kenderaan moden, RAV4 ditawarkan dalam pelbagai pilihan nadi kuasa seperti hibrid dan plug-in hibrid dan ianya versi paling berkuasa dengan 306 DIN hp.
Dari segi reka bentuk, RAV4 dilihat berbeza dengan generasi sebelumnya dan lebih terarah kepada gaya rugged dan utilitarian.
Sama seperti generasi pertama RAV4 kembali lari dari trend, pada masa SUV lain bergaya dengan imej urban, RAV4 cuba mempopularkan konsep bersegi dan lasak pula.
Kepada yang sudah berkenan, ada berita menarik apabila RAV4 khabarnya akan dijual secara rasmi di negara kita.
Kredit foto: Toyota