
LULUS JPJ, MFORCE LANCAR MOTOSIKAL DENGAN SIDECAR PERTAMA MALAYSIA- RM48,888
MForce Bike Holdings dengan rasminya melancarkan WMoto Bobbie VII versi sidecar untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM48,888. Bagaimanapun, bagi 100 pembeli pertama, MForce menawarkan diskaun sebanyak RM2,000.
Untuk rekod, pihak MForce telah pun memperkenalkan Bobbie VII versi standard (tanpa sidecar) pada Mac 2023 dan tahun 2025 menyaksikan varian dengan sidecar pula diperkenal. Ini juga menandakan pertama kalinya motosikal dengan sidecar dijual di Malaysia.

Atas kertas, Bobbie VII ini dikuasakan enjin parallel-twin 693cc 4-stroke DOHC yang berupaya menghasilkan 74hp pada 8,500rpm dan 68Nm pada 6,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan.
Perkara itu tercapai setelah pihak MForce mendapat kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dua tahun perbincangan dalam mencapai konsensus.
Meskipun tampil dengan imej retro, Bobbie VII ini lengkap dengan siistem suntikan bahan api (EFI) dan sistem brek ABS dwi-saluran. Selain itu, model ini juga datang dengan fork teleskopik depan yang dipadankan bersama kaliper brek 2-pot dan cakera brek 320mm depan dan 256mm belakang.
Tidak lupa juga kehadiran panel meter digital LCD yang cukup besar lalu menyerlahkan lagi kelengkapan moden pada model ini.
Dalam pada itu, Bobbie VII ini turut menawarkan pencahayaan LED penuh (depan dan belakang) sekaligus menjaminkan penglihatan yang lebih jelas terutamanya di waktu malam.
Sebagai motosikal dengan sidecar, Bobbie V7 ini turut hadir dengan fungsi reverse bagi memudahkan penunggang sewaktu parkir. Bahagian penumpang juga dilengkapi dengan tali pinggang keledar dan wajib dipakai.







