
KAWASAKI Z900 GENERASI BAHARU LANCAR DI MALAYSIA – DARI RM47,800
Kawasaki melancarkan Z900 generasi terbaru hampir setahun yang lalu dan kami turut berpeluang menyaksikan model baharu itu dengan lebih dekat di EICMA 2024.
Terbaru, MODENAS dengan rasminya memperkenalkan motosikal naked berprestasi tinggi untuk pasaran Malaysia dengan dua varian ditawarkan. Bagi varian Standard, Z900 ini hadir dengan harga RM47,800 manakala varian SE yang lengkap dengan monoshock Öhlins ditawarkan pada harga RM60,100.

Bagi tahun 2025, Kawasaki Z900 kekal dengan imej ‘Sugomi’ namun dengan panel badan yang lebih tajam, minimal dan lebih terdedah.
Lampu hadapan tampil lebih kompak berbanding model sebelumnya dan diposisikan lebih rendah bagi mewujudkan gaya yang lebih agresif dan sporty. Lampu depan pula memuatkan nyalaan LED penuh bagi ‘low-beam’ dan ‘high-beam’.

Lampu belakang juga LED dan telah direka semula dengan menerapkan teknologi ‘light-guiding’ yang mewujudkan nyalaan yang lebih bersepadu.
Meskipun masih lagi mengekalkan penggunaan platform empat silinder 948cc DOHC 16-valve dengan sistem penyejukan cecair namun Kawasaki telah menaik taraf profil cam bagi meningkatkan penjimatan minyak serta aliran tork pada rev rendah. Hasilnya, Z900 2025 ini menawarkan 122hp pada 9,500rpm dan 97.4Nm pada 7,700rpm.

Bagaimanapun, naik taraf signifkan tertumpu pada pakej elektronik dengan Z900 baharu ini menerima ‘throttle’ elekronik dan tetapan ECU baharu yang menyumabng kepada pecutan lebih baik. Kawasaki mendakwa model keluaran 2025 ini menawarkan penjimatan minyak sebanyak 16 peratus selain berjaya mengurangkan kadar emisi sebanyak 11.3 peratus berbanding sebelum ini.
Selain itu, Kawasaki turut memperkenalkan 6-axis IMU pada Z900 terbaru ini sekaligus menawarkan ‘lean-sensitive traction control’ dan ABS. Motosikal ini turut hadir dengan tiga mod; Sport, Road dan Rain serta mod kustom.

Mendengar permintaan peminat, Kawasaki turut menaik taraf Z900 terbaru ini dengan fungsi quickshifter (up/down) serta cruise control.
Segala ciri elektronik kini boleh diakses menerusi panel meter TFT 5-inci baharu dengan dua mod paparan. Menariknya, Z900 baharu ini juga merupakan motosikal Kawasaki pertama dengan fungsi ‘turn-by-turn navigation’.









